Berita

Sambutan ulang tahun ke-50, DAP terus mengorak langkah

KUALA LUMPUR 3 DIS: Sempena sambutan 50 tahun penubuhan DAP pada 2016, pimpinan parti itu akan menilai semula peranan mereka supaya terus relevan dalam memberi sumbangan kepada negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Ulang Tahun ke-50 DAP, Liew Chin Tong berkata, sambutan berkenaan juga dilihat sebagai peluang untuk meneliti semula isu yang berlaku pada negara dan mencari jalan penyelesaian untuk membaiki kelemahan.

“Kita menjadikan 2016 untuk menilai kembali hala tuju, strategi dan masa depan parti dalam mengorak langkah untuk jangka panjang, mungkin untuk 50 tahun akan datang,” kata Ahli Parlimen Kluang itu pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata, sambutan itu juga dijadikan medan memperingati jasa pemimpin lalu yang banyak menyumbang tenaga dan bakti kepada parti,” katanya, menambah atur cara sambutan untuk sepanjang tahun akan diumum kelak.

DAP ditubuh pada 18 Mac 1966 dan menjadi antara parti pembangkang paling konsisten di Malaysia dan memainkan peranan penting dalam gabungan parti pembangkang, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan.

Walaupun pelbagai tohmahan dan fitnah dilempar parti pemerintah sepanjang penubuhannya, parti berbilang kaum itu semakin mendapat sokongan rakyat termasuk dari kalangan masyarakat Melayu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja kempen ‘Pantang Undur – Kempen Solidariti Bersama Kit Siang’, Edry Faizal Eddy Yusof pula, berkata kempen itu sebagai platform untuk rakyat beramah mesra dengan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

“Edry juga berharap dengan pelaksanaan kempen itu dapat menyebarkan semangat ‘Pantang Undur’ yang dilaungkan Kit Siang kepada masyarakat terutama anak muda,” katanya.