Berita

Diskriminasi pangkat antara punca bukan Melayu kurang minat sertai tentera

KUALA LUMPUR 4 DIS: Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar percaya diskriminasi kenaikan pangkat antara punca bukan Melayu kurang berminat menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menolak keras andaian kononnya bukan Melayu kurang berminat menyertai tentera kerana kurang semangat patriotsme, beliau berkata ia sebaliknya  berlaku akibat beberapa faktor lain termasuk isu kenaikan pangkat.

Katanya, kenaikan pangkat dalam kalangan anggota bukan Melayu lambat dan sukar, malah beliau kecewa kerana Menteri Pertahanan seolah-olah mempersoal kesetiaan dan semangat patriotisme anggota bukan Melayu dalam mempertahan ibu pertiwi.

V Sivakumar“Ini satu faktor kenapa bukan Melayu tidak begitu berminat untuk menjadi anggota tentera. Mereka mendakwa ada diskriminasi kenaikan pangkat dan sebagainya. Ini salah satu faktor penolak yang mengagalkan minat bukan Melayu menyertai tentera,” katanya.

Justeru, beliau pada kenyataan media hari ini, mencadangkan kerajaan mengkaji semula dasar kenaikan pangkat sedia ada untuk memberi peluang tanpa diskriminasi terhadap anggota bukan Melayu.

Katanya, Menteri Pertahanan juga memberi alasan kenaikan pangkat dalam kalangan bukan Melayu kecil kerana bilangan mereka tidak ramai sedang golongan minoriti patut diberi lebih peluang.

“Patutnya beri peluang lebih besar kepada golongan ini. Ini akan menonjolkan kerelaan kementerian untuk menggalakkan lebih ramai bukan Melayu menyertai tentera, boleh menjadi faktor penarik kepada mereka,” katanya.