Berita

ERL: DAP persoal kerajaan tidak halang kenaikan kadar tambang

SERDANG 7 DIS: Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming mendesak Kerajaan Persekutuan mendedah perjanjian konsesi Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) berikutan peningkatan kadar tambang walaupun mencatat keuntungan besar.

Sedangkan, beliau berkata, jumlah penumpang KLIA Express meningkat dari 2,062,223 pada 2013 kepada 2,928,302 (2014), berdasarkan statistik Kementerian Pengangkutan.

KLIA Transit pula, katanya, mencatat peningkatan penumpang dari 4,373,220 pada 2013 kepada 6,310,323 (2014), masing-masing pertambahan 42 peratus dan 44 peratus.

“Peningkatan penumpang itu hasil pembukaan rel baru dari KLIA ke KLIA2 pada 6 Mei 2014. Ia membawa keuntungan dalam anggaran RM64 juta,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

ERL Sdn Bhd adalah pemegang konsesi KLIA Transit dan KLIA Express yang beroperasi pada 14 April 2014 dan didanai sepenuhnya kerajaan dengan kos RM2.4 billion.

ong kian mingMeskipun mencatatkan keuntungan, Kian Ming kesal berikutan pengguna ERL berdepan peningkatan RM20 harga tambang baru iaitu RM55 berbanding RM35 sebelumnya bermula 1 Januari 2016.

Beliau juga mempersoal kenaikan itu kerana ERL Sdn Bhd tidak perlu mengeluarkan sebarang kos pembinaan rel tambahan berkenaan kerana ia ditanggung kerajaan sepenuhnya.

“ERL Sdn Bhd tidak mengeluarkan sesen pun kos pembinaan sambungan KLIA2 dan kos operasi sambungan KLIA2 juga sedikit, mengapa ERL menaikkan tambang dalam jumlah besar?

“Mengapa kerajaan tidak menyekat syarikat konsesi daripada meningkatkan tambang walaupun kos pembinaan didanai sepenuhnya?” katanya.

Kian Ming menyifatkan kerajaan sebagai lalai dalam tanggungjawabnya dan membiarkan rakyat sengsara akibat peningkatan tambang berkenaan.

“Adakah kerajaan lalai sehingga membenarkan peningkatan sebesar itu walaupun tahu hasil daripada pembinan rel tambahan berkenaan akan meningkatkan jumlah penumpang?” katanya