Berita

Kualiti perkhidmatan klinik kesihatan jauh dari taraf negara maju

KUALA LUMPUR 7 DIS: Kualiti perkhidmatan sektor kesihatan di negara ini perlu dipertingkat berikutan tahapnya belum memuaskan, malah jauh dari piawaian di negara maju sekalipun membabitkan klinik di bandar.

Memberi contoh, Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar, berkata masa menunggu di klinik kesihatan di Buntong terlalu lama sebelum dapat berjumpa dengan pegawai perubatan, selain ketiadaan perkhidmatan ambulans.

“Kebiasaanya, banyak kaunter pendaftarannya ditutup sepanjang masa. Alasannya ialah tidak cukup kakitangan yang disediakan kementerian. Ini menyebabkan pesakit-pesakit terpaksa menunggu berjam-jam sebelum berjumpa dengan pegawai perubatan.

“Saya juga difahamkan tiada perkhidmatan ambulans di klinik itu. Adakah benar? Jika benar, kenapa? Saya dimaklumkan klinik itu pernah memiliki ambulans sendiri. Apa terjadi kepada ambulans itu?” katanya.

Pada kenyataan media, Timbalan Pengerusi DAP Perak itu percaya, jika masalah itu membabitkan sebuah klinik kesihatan di bandar, kualiti perkhidmatan klinik di luar bandar dan pedalaman lebih teruk daripada itu.

“Bayangkan pula perkhidmatan kesihatan yang disediakan Kementerian Kesihatan kepada orang Asli di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Tanpa kualiti perkhidmatan kesihatan yang unggul dan dapat dinikmati semua lapisan masyarakat pada kos berpatutan, katanya, Malaysia tidak akan mencapai taraf negara maju kerana ia antara kriteria terpenting.

“Kita berhasrat mencapai taraf negara maju pada 2020. Kita hanya ada Rancangan Malaysia Yang Kesebelas (RMK-11) untuk menjayakan aspirasi itu tetapi dalam lima tahun, bolehkah kita meningkatkan mutu kesihatan pada tahap membanggakan?” katanya.