Rencana

Surat terbuka kepada MB: Orang kaya monopoli tanah rezab Melayu?

MENTERI Besar Johor, Khaled Nordin pada penggulungan perbahasan Bajet Johor 2016 menyatakan kononnya saya seorang kapitalis kerana perbahasan saya menyentuh mengenai tanah rezab Melayu.

Saya berasa Khaled sebenarnya tidak faham maksud sebenar kandungan ucapan saya atau berpura-pura tidak faham dan sekadar mengalihkan perhatian daripada isu sebenar yang dibangkitkan.

Saya tidak pernah menyatakan maruah, harga diri dan kehormatan Melayu itu terletak pada harga sekeping tanah, apatah lagi untuk mengubah status quo tanah rezab Melayu. Bukan itu tujuan saya.

Pertama sekali, saya bangkitkan isu tanah rezab Melayu kerana kekhuatiran jika trend pemilikan individu tanah rezab Melayu akhirnya memanfaat sekelompok manusia terpilih semata-mata.

Ketika ini, kelihatan wujud kegiatan monopoli tanah rezab Melayu oleh sesetengah kelompok yang kaya.

Kerajaan Johor bukan sahaja gagal memberi statistik pemilikan individu berbanding keluasan sebenar tanah rezab Melayu di Johor tetapi juga gagal menjawab persoalan yang saya bangkitkan. Tidak langsung disentuh. Mengapa?

Keduanya, saya menyentuh mengenai keperluan untuk meningkatkan potensi pembangunan. Dalam akta sedia ada, wujud sekatan penjualan dalam pasaran bebas.

Oleh itu, pastilah harga tanah rezab Melayu ini jauh lebih murah berbanding tanah bukan rezab. Malah, perbezaannya mencecah sehingga lima kali ganda. Ini sebenarnya kerungsingan saya.

Dalam keadaan harga sebegini murah, apakah manfaat yang boleh didapati oleh pemilik tanah rezab sekiranya mereka mempunyai keperluan mendesak dan terpaksa menjualnya pada harga murah kerana potensi pembangunan terhad.

Apakah ia boleh membantu mereka untuk mencari tanah lain ataupun hanya sekadar cukup menampung keperluan mendesak itu sahaja?

Oleh demikian, saya menyeru Kerajaan Negeri membangunkan infrastruktur lebih baik yang membawa impak pembangunan di kawasan tanah rezab Melayu. Malah, Kerajaan Negeri juga boleh memikirkan mekanisme agar pengubahan syarat daripada pertanian kepada kegunaan komersial atau industri, boleh dilakukan tanpa mengorbankan kepentingan orang Melayu.

Kerajaan Negeri patut memikirkan bagaimana mereka boleh menjana ekonomi atau meneroka peluang pendapatan baru tanpa menjejaskan pemilikan tanah rezab Melayu.

Inilah sebenarnya kegagalan Kerajaan Negeri. Hasrat awalnya untuk membantu orang Melayu memiliki tanah. Ironinya ia hanya memberi impak negatif kepada golongan sasaran secara keseluruhannya.

Kerajaan Negeri juga menyatakan kononnya saya seorang kapitalis. Tuduhan itu sebenarnya umpama meludah ke langit, akhirnya terkena muka sendiri. Jika kita melihat dalam konteks pemilikan individu dalam tanah rezab Melayu, pastinya kita bersetuju bahawa dasar Kerajaan Negeri sebenarnya dasar kapitalis.

Dasar Kerajaan Negeri sekadar memberi manfaat kepada sesetengah kelompok kaya dan mahakaya. Yang kaya bertambah kaya, yang miskin hanya diberi gula-gula.

 

* Chua Wee Beng ialah Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Bentayan