Rencana

DAP Johor rakam sembah takziah

Saya dan seluruh pimpinan DAP Johor merafak sembah dan ucapan takziah kepada seluruh Kerabat Diraja Johor atas kemangkatan Tunku Laksamana Johor, Yang Amat Mulia Tunku Abdul Jalil Ibni Sultan Ibrahim.

Tunku Abdul Jalil menderita penyakit barah hati sejak Ogos tahun lalu dan telah menjalani siri-siri rawatan.

Majlis Jemaah Diraja melaporkan Almarhum mangkat pada jam 7.11 malam tadi di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Tunku Abdul Jalil terkenal sebagai tokoh yang dekat dengan rakyat dan merendah diri. Berita kemangkatan ini pasti amat dirasai rakyat jelata khususnya Bangsa Johor.

Saya dan seluruh saf pimpinan DAP Johor mendoakan segala kebaikan buat Almarhum dan ruhnya ditempatkan bersama golongan yang beramal soleh. Ameen.

LIEW CHIN TONG
Pengerusi DAP Johor
Ahli Parlimen Kluang