Berita

Akta Keselamatan Negara: Malaysia masuk satu lagi zaman gelap

KUALA LUMPUR 8 DIS: Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin menyifatkan Malaysia memasuki satu lagi fasa ‘zaman gelap’ apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) meluluskan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Dewan Rakyat.

Ia secara langsung, beliau berkata, menggambarkan kerajaan BN semakin gelisah dan sanggup berbuat apa sahaja untuk mengekalkan survival politik mereka.

Katanya, kelulusan akta drakonian itu juga meminggirkan Majlis Raja-Raja dan secara tidak langsung merampas kuasa Yang DiPertuan Agong apabila Perdana Menteri berkuasa untuk mengisytiharkan darurat atas nama kawasan keselamatan.

“Kita sedia maklum bahawa keselamatan negara perlu diberi keutamaan. Namun adakah dengan meluluskan akta ini bermakna keselamatan negara akan terjamin?

“Bukankah kita memiliki pasukan keselamatan dan risikan yang baik dan berjaya menumpaskan sebarang anasir subversif atau terorisme seperti yang dilapor media? Ini hanya tindakan terdesak kerajaan BN untuk berbuat apa sahaja demi kekal berkuasa,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Akta berkenaan memberi kuasa khas kepada pasukan keselamatan yang dikerahkan ke kawasan keselamatan dengan kuasa yang luas dan dikhuatiri disalah guna untuk tujuan politik, mengulangi kezaliman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)

Bagi konteks Sabah, Jimmy berkata, kelulusan akta berkenaan menimbulkan persoalan besar sama ada ia mungkin disalah guna untuk ‘projek IC’ gelombang kedua yang akhirnya menguntungkan BN.

“Sudah tiba masanya rakyat Malaysia melipat gandakan usaha untuk menjatuhkan BN dalam pilihan raya akan datang,” katanya.