Rencana

‘Muggle’ yang mana pilihan mahasiswa?

 

ANTARA hujah Bathilda Bagshot, seorang profesor Sejarah Magis di sekolah Hogwarts, orang yang tiada magis atau lebih dikenali sebagai kumpulan Muggle amat takut kepada magis walaupun hakikatnya, mereka tidak mengetahui apa itu magis.

Secara tidak langsung, J K Rowling, penulis terkenal melalui karya novel fantasi Harry Potter menyifatkan Muggle sebagai kumpulan yang pemikirannya beku dan jumud terhadap perkara yang mereka anggap tabu atau sensitif iaitu magis.

Kejumudan mereka melahirkan sikap tidak mahu mengambil tahu tentang magis dan perkara berkaitan dengannya walaupun untuk cakna sedikit tentang sisi baik magis itu sendiri.

harrypotterPada sisi lain, J K Rowling sebenarnya menganggap Muggle sebagai gelaran yang memikat dan penuh kasih sayang. Lihat saja bagaimana kasih dan lembutnya cara layanan Vernon dan Pertunia Dursley, pasangan berdarah Muggle dalam melayani Dudley yang menurut mereka, tiada anak lain sehebat beliau di dunia ini.

Namun, ada juga yang menggelarkan kumpulan Muggle sebagai mudblood iaitu berdarah lumpur kerana tahap kelesuan intelektual dan pemikiran mereka.

Sifat itu sebenarnya terpancar pada sebahagian rakyat Malaysia – masyarakat pinggir bandar, kumpulan urban, politikus, malah lebih membimbangkan tempiasnya terpalit kepada mahasiswa yang kononnya sentiasa diangkat daya keintelektualannya.

Mahasiswa Islam khususnya yang diajar untuk tidak bertaklid seakan-akan mirip watak Muggle di Malaysia. Ini kerana ‘magis’ gagal difahami malah tidak dirujuk kembali kepada sumber benar oleh apabila acap kali isu sensitif diperkata.

Kepelbagaian isu seperti agama, hak ketuanan Melayu, isu Raja Melayu, kebebasan bersuara, ideologi Barat seperti sekularisme, liberalisme dan macam-macam lagi, pemahamannya hanya diambil daripada ustaz ‘mi segera’ yang mudah melabel kerana kurang pengetahuan.

Justeru, kejumudan pemikiran masyarakat Muggle di Malaysia hari ini semakin menjadi-jadi apabila institusi tradisi keintelektualan iaitu universiti turut dicengkam rasa takut apabila ahli-ahlinya dicabut kebebasan akademik mereka.

Malah wujud golongan autoriti atau diktator pemikiran yang menggunakan kuasa sewenang-wenangnya untuk menyekat pemikiran masyarakat dari terus berkembang.

Ini menunjukkan kita sedang melalui proses reinkarnasi keadaan Zaman Gelap di Eropah.

Kebejatan institusi gereja pada zaman gelap menyebabkan gelombang intelektual masyarakat Eropah menjadi beku sehingga ada dalam kalangan rakyat Eropah pada masa itu menganggap bumi ini rata dan statik tidak berputar!

Tidak lupa bahawa kuasa gereja juga tidak boleh dipersoalkan.

Ini sama saja di Malaysia apabila perbuatan mengkritik ulama dan ketua agama boleh diklasifikasi sebagai menghina agama dan boleh dikecam tanpa sebarang dialog atau perbincangan terlebih dahulu.

Tradisi memaksumkan golongan tertentu jika tidak dirawat dengan cepat, dikhuatiri akan membawa keruntuhan institusi keilmuan dan kebejatan institusi ‘golongan maksum’ itu sendiri.

Sedangkan, kita lupa peristiwa Khalifah Umar al-Khattab pun terdiam apabila ideanya untuk menetapkan mahar ditegur seorang perempuan memandangkan mahar itu hak kepada bakal isteri untuk menentukannya.

msiswa langgar umno 7Kita tidak boleh menafikan kebebasan akademik di universiti sebenarnya sedang rakus dinodai oleh golongan Muggle itu.

Bekas menteri, Datuk Saifuddin Abdullah pernah menyebut autonomi universiti sudah tidak berguna lagi apabila kebebasan akademik mula dinodai.

Universiti sebagai pusat tradisi keintelektualan dan keilmuan sedang mengalami zaman gelapnya di samping mahasiswa bergelut dengan kebobrokan sifat membacanya. Kebobrokan sifat malas membaca mahasiswa tidak selari dengan ayat al-Quran yang pertama-tama diturunkan: Iqra yang menggagaskan tentang membaca.

Seorang bekas banduan bernama Genis menyatakan antara saat bernilai dan bermakna dalam hidupnya ialah ketika membaca buku – berasa seolah-olah sedang berbual dan mengenali penulis melalui buku-buku itu.

Beliau membaca 1,048 buku senjak mula ditahan di Pusat Pemulihan Green Haven di New York. Tidak keterlaluan jika saya katakan perintah membaca di dalam al-Quran merupakan perintah paling berharga kepada umat manusia. Membaca juga syarat utama untuk membangunkan sebuah peradaban atau tamadun.

Jika kurang masyarakat membaca, maka lambatlah proses pembangunan peradabannya, demikianlah sebaliknya. Buktinya terletak pada sejarah yang memaparkan kejayaan peradaban Islam, Eropah dan Rom yang semuanya dimulai dari pembacaan kitab, menulis dan pergelutan pelbagai persoalan intelektual hingga melahirkan banyak teori baru yang masih diguna pakai sehingga kini.

Namun, generalisasi tentang masyarakat Muggle amat kejam dan tidak adil bunyinya.

Tidak semua golongan Muggle bersifat jumud dan tertutup pemikirannya seperti yang digembar-gemburkan. Sebagai contoh, Hermione Granger, seorang kelahiran Muggle ialah seorang remaja bersifat terbuka dan berfikiran rasional.

Karakter beliau lebih baik daripada segelintir orang magis itu sendiri. Ia terbukti apabila beliau tidak takut untuk menyebut nama Voldemort secara terang-terangan Nama Voldemort tabu untuk disebut). Tidak lupa juga Lily Evans, ibu kepada Harry Potter yang berani melawan kejahatan demi menegakkan kebenaran.

Persoalannya jenis Muggle yang manakah masyarakat cuba angkat dan diagung-agungkan jika mahasiswa yang sepatutnya mengisi ruang vakum itu belum terisi dengan keintelektualan yang sepatutnya?