Berita

Ditahan bawa poster RM2.6 bilion tapi kena ujian air kencing

KUALA LUMPUR 23 DIS: Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Wong Kah Woh menyifatkan tindakan polis terhadap Ketua DAPSY Raub sebagai berlebih-lebihan kerana memiliki poster RM2.6 bilion bukan suatu kesalahan.

wong-kah-woh“Adakah polis mempunyai keraguan berasas bahawa Low Yong Zhao melakukan kesalahan jenayah sehingga terpaksa dibawa ke balai polis? Apakah alasan polis untuk menjalankan ujian air kencing dan ujian dadah jika benar kesalahan itu di buat?

“Ia jadi kesalahan apabila dana itu diterima individu tidak bertimbang rasa, seterusnya melesapkannya. Individu berkenaanlah patut dibawa ke muka pengadilan,” katanya merujuk isu ‘derma’ ke akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Semalam, Yong Zhao ditahan dalam pemeriksaan rambang di Taman Midah, Cheras di sini dan beberapa poster tertera ‘Mana RM2.6 billion?’ ada dalam keretanya.

Ironinya, beliau dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras untuk pemeriksaan air kencing sebelum dibebas dan memaklumkan media, ia hanya salah faham dan ‘pemeriksaan biasa’.

Kah Woh berkata, polis harus menyediakan secukup latihan berkaitan hal ehwal perundangan kepada anggotanya dengan tidak melakukan penahanan semata-mata penemuan poster derma RM2.6 bilion itu.

“Sangat jelas pegawai polis yang terlibat dan yang memberi arahan, memerlukan latihan perundangan yang cukup berkaitan skop kuasa polis dan hak suspek.

“Insiden itu jelas melibatkan pelanggaran hak asasi manusia dan salah faham itu seharusnya tidak menjadi alasan untuk melakukan gangguan, kalaupun tidak penangkapan,” katanya.

teresa kokPandangan itu turut dikongsi Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang terlibat dalam membantu membebaskan Yong Zhao.

“Saya bercakap dengan salah seorang anggota polis itu melalui telefon bimbit Low dan tanya apa salahnya dengan poster itu?

“Selepas gagal memujuk melepaskan Yong Zhao , saya dan beberapa pemimpin DAPSY Wilayah Persekutuan pergi ke IPD Cheras,” katanya yang menemui Ketua Polis Daerah itu bagi mendapatkan menjelasan lanjut.

“Mereka tidak sepatutnya menyusahkan Low atas isu poster itu” katanya yang bimbang insiden seumpama itu boleh mencalarkan imej dan kredibiliti polis dan tidak seharusnya berulang.