Berita

Impian Perak bina empangan di kampung orang Asli

GERIK 28 DIS: Harapan penduduk orang Asli di Kampung Sungai Papan di sini untuk memperoleh bekalan air bersih akhirnya menjadi kenyataan dengan terbinanya sebuah empangan mini.

Ia terhasil melalui tungkus lumus dan penat lelah penduduk dengan bantuan DAP Perak melalui program Impian Perak yang terilham dari projek Impian Malaysia.

IMG-20151228-WA0003Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata projek komuniti itu melibatkan pembinaan empangan mini atas bukit dan sambungan paip air merentasi sungai sepanjang lebih satu kilometer dengan dibantu penduduk kampung dan sukarelawan Impian Perak.

Walaupun terpaksa berdepan kesukaran, beliau berkata projek berkenaan yang dirancang sejak November lalu hanya mengambil masa hanya kira-kira dua minggu untuk disiapkan.

IMG-20151228-WA0004Katanya, ia rentetan projek Impian Perak sebelum ini yang membantu penduduk tanpa mengira bangsa dan agama dengan membina rumah warga emas dan mengecat semula surau di Kamunting, Taiping.

Beliau yang optimis dengan penerimaan masyarakat berkata, DAP berharap khidmat yang merentas kaum dan agama itu dapat membentuk perpaduan nasional dalam konteks bangsa Malaysia khususnya.

Turut sama menjayakan projek itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pokok Assam, Teh Kok Lim, ADUN Jalong, Loh See Yee serta ADUN Tronoh, Yong Choo Kiong.