Rencana

Empat fokus utama DAP Johor untuk 2016

SEPARUH penggal sudah berlalu sejak PRU ke-13 pada Mei 2013 yang lalu. Sudah masanya DAP Johor memberikan fokus yang maksimum terhadap beberapa isu utama untuk berhadapan dua tahun setengah yang berbaki menjelang PRU ke-14.

DAP Johor bersama rakan-rakan dalam Pakatan Harapan; Parti Amanah Negara dan Parti Keadilan Rakyat berhasrat untuk memenangi sekurang-kurangnya 29 kerusi (daripada 56) Dewan Negeri Johor untuk menubuhkan kerajaan baru Pakatan Harapan. Parti-parti pembangkang dalam Pakatan Rakyat telah memenangi 18 kerusi Dewan Negeri dalam PRU ke-13 lalu.

Dalam tempoh masa dua atau dua setengah tahun akan datang, DAP Johor dan Pakatan Harapan berharap mendapat optimum memainkan peranan sebagai pembangkang untuk memantau Kerajaan Barisan Nasional.

Bertindak sebagai government-in-waiting, kami perlu mengambil sikap proaktif dalam mengemukakan idea-idea bernas dan benar-benar memanfaatkan rakyat. Idea-idea yang popular dan baik untuk kesejahteraan rakyat Johor tentunya akan diterima pakai oleh pihak Kerajaan.

Sebagai contoh, Taman Merdeka di Kluang telah diabaikan oleh Kerajaan Tempatan sejak sekian lama. Namun pasca program gotong royong rakyat membersihkan fountain/kolam di taman tersebut hasil inisiatif pejabat Parlimen Kluang dan DUN Mengkibol, Kerajaan terpaksa memberi tumpuan terhadapnya. Kini Taman Merdeka telah ‘hidup’ kembali dan manfaatnya sekali lagi dinikmati rakyat Kluang.

Pada 2014, kami turut mencadangkan agar lorong belakang di Bandar Kluang dijadikan daya tarikan pelancong seperti di bandar Melbourne dan bandar-bandar yang lain. Kini, Majlis Perbandaran Kluang bersedia untuk menjadikan lorong belakang sebagai salah satu tempat untuk flea market.

Kami berpendapat, usaha ini masih tidak mengcukupi untuk menjadikan Kluang sebagai tarikan pelancong tetapi contoh ini cukup untuk menunjukkan bahawa pihak Kerajaan terpaksa mengikuti idea-idea bernas yang dikemukakan oleh pihak pembangkang.

Di peringkat negeri, sejak dua tahun lalu, DAP Johor memberi penekanan terhadap kepentingan pengangkutan awam termasuk perkhidmatan bas percuma. Tahun 2016 Kerajaan  Johor akan melaksanakan perkhidmatan bas percuma di Johor Bahru. Kerajaan juga meminta anak syarikat JCorp untuk memperbaiki perkhidmatan bas antara bandar.

Ada yang mendakwa bahawa pembangkang akan rugi jika UMNO-BN copy and paste idea-idea kami ini. Namun kami sedikit berbeza dalam hal ini.

Pertama, bagi kami, sistem demokrasi yang benar-benar memanfaatkan rakyat adalah apabila wujudnya persaingan idea antara pemerintah dan pembangkang.

Kedua, jika dengan idea-idea kami mendorong kearah kehidupan rakyat yang lebih selesa, ia turut merupakan sumbangan kami secara tidak langsung.

Ketiga, kami percaya akan sampai satu hari nanti rakyat sedar DAP dan Pakatan Harapan adalah parti yang bervisi, parti yang mempunyai idea dan polisi yang baik serta parti yang patut diberi peluang untuk memainkan peranan mentadbir sebuah kerajaan.

DAP Johor akan memberi tumpuan terhadap empat bidang dasar untuk tahun 2016:

Pertama, ekonomi untuk rakyat jelata

Dasar ekonomi Kerajaan Johor hanya memberi tumpuan terhadap pembangunan hartanah di Johor Bahru dan kawasan Iskandar sebaliknya kurang penekanan diberikan untuk Johor Tengah dan Johor Utara.

Ekonomi Malaysia akan menghadapi cabaran yang serius pada tahun 2016 dan DAP Johor berhasrat membangkitkan isu-isu seperti peluang pekerjaan anak muda, meningkatkan taraf ekonomi di kawasan separa bandar dan keperluan ekonomi masyarakat pertanian.

Kedua, bekalan air yang bermutu dan lestari

Selepas lama diseru oleh DAP Johor, Kerajaan Negeri akhirnya mengumumkan bahawa aktiviti pertanian dan sawit akan dikurangkan di sekitar kawasan empangan. Catuan air di kawasan Johor Bahru, Kota Tinggi dan Pengerang selama empat bulan mengingatkan Kerajaan Johor agar bertindak lebih tegas dalam menjamin kelestarian bekalan air.

2016 ini, DAP Johor akan berusaha memberi tumpuan terhadap isu-isu bekenaan bekalan air yang bermutu dan lestari.

Ketiga, pengangkutan awam

Pengangkutan awam adalah aspek yang tidak harus diabaikan oleh Kerajaan. Kehidupan rakyat jelata akan bertambah baik jika keberkesanan sistem pengangkutan awam mencakupi aspek ketepatan masa, jajaran laluan yang tepat dan rangkaian yang luas.

DAP Johor telah mengemukakan cadangan berhubung keadaan di Tambak Johor:

a) mewujudkan walkalator;

b) melipatgandakan perkhidmatan bas Shuttle Tebrau;

c) pihak Kastam mesti meningkatkan keberkesanan mereka. Seramai 200,000 rakyat Malaysia menyeberangi Tambak Johor setiap hari untuk bekerja di Singapura. Kami prihatin keadaan mereka.

Selain itu, pengangkutan awam antara bandar dan pekan mesti ditambah baik. Satu ketika dahulu, bandar-bandar di Johor sangat bergantung kepada Keretapi sebagai ‘mode’ pengangkutan utama. Tahap perkhidmatan keretapi akan jadi penentu kemakmuran bandar-bandar di Johor.

Keempat, reformasi kerajaan tempatan

Kerajaan Tempatan adalah salah satu bahagian yang penting dalam kehidupan rakyat jelata. Ahli Dewan Negeri, Ahli Parlimen dan pemimpin tempatan DAP Johor akan bekerjasama dengan Kerajaan Tempatan, dan juga memainkan peranan ‘check-and-balance’ untuk menjamin perubahan di peringkat ini dan perkhidmatan Kerajaan Tempatan benar-benar dapat memanfaatkan rakyat jelata.

Turut hadir dalam program Ceramah Umum DAP Johor di Kluang adalah YB Dato’ Paduka Hj Husam Musa. Kemunculan beliau merupakan penampilan sulung atas pentas DAP pasca Pakatan Rakyat dan kewujudan kolasi baru pembangkang atas nama Pakatan Harapan.

Dalam ucapannya, beliau turut menyokong dan menyatakan komitmen untuk berjuang bersama parti-parti yang mendokong hasrat merealisasikan perubahan di Malaysia sekaligus menumbangkan UMNO BN dalam PRU akan datang.

 

* Liew Chin Tong ialah Ahli Parlimen Kluang