Berita

Sistem visa tidak efektif jejas pelancongan di Sabah

KUALA LUMPUR 5 JAN: Ekoran pelaksanaan program pelepasan visa yang tidak efektif, Malaysia ketinggalan jauh berbanding negara lain di rantau Asia Tenggara dalam usaha menarik pelancong terutama dari China.

Memberi contoh Indonesia dan Thailand yang lebih awal melaksanakan program itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Tanjong, Chan Foong Hin berkata ia seharusnya dilaksanakan 1 Disember tahun lalu tetapi tiada pelaksanaan walaupun kabinet sudah meluluskannya.

“Apa yang berlaku? Mengapa pihak berkuasa termasuk Kementerian Pelancongan dan Jabatan Imigresen tidak mengikut keputusan kabinet?” katanya pada kenyataan media, semalam.

Indonesia menarik 20 juta pelancong menjelang 2019, mengatasi Malaysia hasil pelaksanaan program itu sejak Januari tahun lalu manakala Thailand yang melakukan inisiatif sama, peratusan pelancong melonjak kepada 18.8 peratus berbanding Malaysia, 2.7 peratus.

Foong Hin turut mengkritik syarat program berkenaan yang bersifat ‘kaku’ kerana membenarkan hanya dua atau lebih pelancong berkumpulan melalui agensi pelancongan yang diiktiraf kerajaan Malaysia untuk memohon pelepasan visa.

“Ia bertentangan dengan kehendak pelancong. Kini ramai backpackers yang melancong seorang diri tanpa mengikut agensi pelancongan. Bagaimana kita hendak atasi keadaan itu?” katanya.

Beliau berkata, pengenalan sistem e-visa yang sepatutnya dibuat Selasa lalu tidak harus dilakukan tergesa-gesa kerana ia bakal mengundang kecelaruan kepada pengendali sektor pelancongan.

“Walaupun program e-visa diperkenal bagi memudahkan prosedur permohonan, ia haruslah dilaksanakan dengan lancar. Sebarang perubahan akan menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pengendali sektor pelancongan,” katanya sambil menegaska.

Foong Hin menegaskan isu itu perlu diselesaikan segera berikutan sektor pelancongan adalah sektor terpenting negeri Sabah.