Berita

Kenyataan bercanggah 1MDB-konsortium, DAP desak penjelasan

KUALA LUMPUR 5 JAN: Syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) digesa mendedah kepada umum perjanjian jual beli yang ditandatangani antara 1MDB Real Estate dengan konsortium Iskandar Waterfront Holdings-China Railway Engineering Corporation untuk penjualan 60 peratus pegangannya di Bandar Malaysia.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata ia perlu bagi memastikan tidak berlaku sebarang kekeliruan terhadap isi perjanjian antara syarikat berkaitan kerana ia melibatkan kepentingan pembayar cukai di negara ini.

“Dengan cara itu, sesiapapun tidak dapat menuduh 1MDB selektif dalam memilih maklumat untuk didedah kepada umum,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini, dalam kenyataan China Railway Group Limited kepada Bursa Hong Kong pada 3 Januari lalu, mengumumkan konsortium itu akan membeli 60 peratus kepentingan ekuiti dalam Bandar Malaysia yang dipegang 1MDB Real Estate pada harga RM5.279 bilion.

Terdahulu, 1MDB pada 31 Dec tahun lalu sebaliknya mengumumkan Konsortium IWH-CREC menilai 100 peratus tanah Bandar Malaysia pada RM12.35 bilion menjadikan 60 peratus tanah itu bernilai RM7.41 bilion dan 1MDB akan menerima 10 peratus deposit RM741 juta apabila Perjanjian Jualan Beli Saham dan urus niaga itu selesai pada akhir Jun 2016.

Menyifatkan kenyataan 1MDB tidak boleh dipercayai dan harus dipandang secara skeptikal, Tony Pua berkata, ada percanggahan ketara dalam kenyataan antara syarikat berkenaan berkaitan nilai tanah dan harga pembelian sebenar.

“Adakah ia hanya melibatkan percanggahan dalam pentafsiran ‘harga pembelian’ dalam pegangan 60 peratus di Bandar Malaysia oleh Konsortium-China terbabit?

“Sebagai contoh, 1MDB bercakap mengenai nilai tanah, sebaliknya rakan niaganya itu menyentuh mengenai harga sebenar pembelian,” katanya.

Beliau percaya langkah itu diambil 1MDB untuk menjaga imej Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga pengerusi syarikat berkenaan dengan memberi contoh perjanjian terdahulu hingga menimbulkan kesamaran dan kekeliruan kepada umum.

“Contohnya, International Petroleum Investment Corporation (IPIC) memberi pinjaman US$1 billion untuk melangsaikan hutangnya kepada Deutsche Bank tetapi 1MDB gagal menjelaskan kepada rakyat mengenai hal itu,” katanya dan menambah 1MDB hanya membuat kenyataan tanpa memberikan penjelasan terperinci. -Roketkini.com