Berita

MB Johor ‘berkokok’ sokong UMNO-PAS, membisu cadangan JK rentas parti

KUALA LUMPUR 5 JAN: DAP Johor menyarankan supaya Kerajaan Negeri mewujudkan Jawatankuasa Terpilih rentas parti bagi mendepani pelbagai isu kritikal melibatkan rakyat termasuk krisis bekalan air.

Penolong Setiausaha Publisitinya, Sheikh Omar Ali kesal berikutan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sehingga kini belum memberi reaksi sekalipun membuat kenyataan sokongan terhadap kerjasama UMNO-PAS.

“Janganlah berkokok berderai-derai, melaungkan slogan kerjasama demi rakyat, sedangkan ekor dipenuhi tahi. Cakap tak serupa bikin,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini, Mohamed Khaled dilapor berkata UMNO Johor mengalu-alukan kerjasama baik yang memberi manfaat kepada rakyat, sekaligus menyokong saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas alasan mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Ironinya, cadangan DAP Johor yang dibuat sejak tahun lalu tidak mendapat sebarang reaksi sedangkan rakyat negeri itu terus dihimpit pelbagai masalah dalam kehidupan seharian.

Sheikh Omar berkata, UMNO sebenarnya ‘mencarik-carik’ perpaduan rakyat melalui perbuatan mahupun kenyataan berbaur perkauman, antaranya penganjuran Perhimpunan Baju Merah dan kenyataan ‘Apa lagi Cina mau?’

Sedangkan, katanya, program anjuran DAP Johor termasuk pertemuan Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang dengan anak muda berbilang kaum di Kluang 2 Januari lalu, berlangsung harmoni.

“Anak muda membangkitkan masalah berkisar kesukaran meneruskan survival hidup seperti sukar mendapat pekerjaan, kepayahan memiliki rumah, kekhuatiran terhadap kos sara hidup yang semakin menekan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, ia menunjukkan ketidakstabilan negara pada masa ini bukan semata-mata akibat kurangnya perpaduan tepapi penyumbang terbesar ialah isu ketirisan dan salah urus tadbir pemerintahan UMNO BN yang korup sejak lebih 50 tahun lalu.

Beliau merujuk skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), derma RM2.6 bilion ke akaun peribadi Perdana Menteri, skandal Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPIEM), pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang menjerut rakyat

“Skandal itulah punca sebenar kepada ketidakstabilan negara,” katanya. -Roketkini.com