Berita

Kerajaan Pahang culas punca pencemaran bauksit berlarutan

KUALA LUMPUR 5 JAN: Kerajaan Pahang mahupun kerajaan Persekutuan culas menjalankan tanggungjawab walaupun memiliki kuasa yang luas untuk menghentikan perlombongan bauksit hingga mendapat teguran Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah.

Sebaliknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mentakab, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, berkata kedua-dua kerajaan yang memegang kuasa eksekutif itu seakan-akan lesu apabila berdepan dengan situasi berkenaan.

Katanya, pembangkang, badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat sudah membuat aduan kepada Jabatan Alam Sekitar dan polis, selain membangkitkan isu pada sidang Dewan Negeri Undangan (DUN) Pahang.

“Mengapa Kerajaan Terengganu tidak meluluskan perlombongan bauksit? Mengapa Pahang teragak-agak mengharamkan terus perlombongan itu jika tiada jalan penyelesaiannya?” katanya kepada Roketkini.

Tengku Zulpuri berkata, kerajaan Pahang sekurang-kurangnya boleh menggunakan kuasa melalui undang-undang kecil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi membendung kegiatan haram mahupun pencemaran ini.

“Tiada kesungguhan untuk bertindak, Pahang ada lebih 11 PBT selain Pejabat Tanah dan Daerah, takkan tak boleh panggil semua pihak berkuasa mengadakan operasi besar-besaran,” katanya, menambah kekurangan penguatkuasa tidak harus dijadikan alasan.

Justeru, beliau mencadangkan penguatkuasaan lebih keras dalam menentukan keputusan dan mengesyorkan penggunaan kaedah moden untuk memastikan perlombongan itu dijalankan dengan teratur tanpa mengakibatkan pencemaran.

“Kerajaan negeri juga boleh menggunakan kaedah moden dengan meletakkan syarat supaya lori yang mengangkut tanah bauksit wajib memasang alat pengesan yang boleh di kawal pihak berkuasa. Juga boleh menggunakan kapal terbang kecil tanpa pemandu,” katanya.

Menyokong cadangan Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran jika tuntutan pelbagai pihak tidak dientah, Tengku Zulpuri berkata, pelbagai janji disuarakan Kerajaan Pahang pada sidang DUN lalu tetapi tidak pernah ditepati.

Sebaliknya, beliau berkata, aktiviti itu semakin menjadi-jadi sehinggakan pantai berdekatan lokasi itu bertukar merah dipercayai akibat kerja perlombongan itu.