Berita

Skandal 1MDB: Najib takkan mampu raih sokongan tiga juta ahli UMNO

KUALA LUMPUR 6 JAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya mampu ‘membeli’ sokongan antara 300 hingga 400 Ahli Majlis Tertinggi UMNO tetapi tidak akan dapat berbuat demikian terhadap tiga juta ahli UMNO, apatah lagi rakyat bawahan.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata Pakatan Harapan harus ‘menawan’ hati ahli UMNO untuk turut bersama-sama dalam kempen menyelamatkan negara dari gejala rasuah berleluasa, ketidakadilan sosio-ekonomi dan kegagalan dasar pembangunan.

“Ahli tertinggi UMNO tentunya bersetuju dengan Najib apabila dia mengatakan isu derma RM2.6 bilion dan dua skandal 1MDB selesai, tetapi saya tak fikir 30 juta rakyat kita percaya dengan propaganda mereka.

“Skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terus jadi perhatian media terutama di media sosial memandangkan baru-baru ini Malaysia berada di tangga ke-3 sebagai entiti paling rasuah di dunia,” katanya pada ceramah “Solidariti Bersama Kit Siang dan Mana RM2.6 Billion?” di ibu pejabat DAP Melaka, Lorong Pandan semalam.

Najib terus dihimpit skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion dari pelbagai pihak pihak sekalipun membuat kenyataan kononnya skandal itu sudah berakhir bagi meraih sokongan segelintir pemimpin UMNO.

Justeru, Kit Siang berkata, Pakatan Harapan memikul tugas berat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk ‘menawan’ hati 3 juta ahli UMNO supaya mereka menyertai rakyat Malaysia lainnya dalam kempen “Selamatkan Malaysia” agar negara diselamatkan.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah itu yakin penentangan rakyat terhadap Najib semakin hebat walaupun ia kelihatan sukar menggugat cengkaman kuasa Perdana Menteri itu pada peringkat parti dan kerajaan buat masa ini. -Roketkini.com