Berita

Perkhidmatan feri Pulau Pinang yang diurus kerajaan pusat semakin tidak memuaskan

GEORGE TOWN 7 JAN: Pulau Pinang menuntut agar perkhidmatan feri yang ditadbir oleh kerajaan pusat yang mutu perkhidmatannya semakin tidak memuaskan diserahkan operasinya kepada kerajaan negeri.

“Sudah sampai masanya untuk Penang Port Sdn Bhd (PPSB) menyerahkan operasi perkhidmatan feri kepada kerajaan negeri,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, kegagalan kerajaan pusat menguruskan perkhidmatan feri dengan baik dan profesional telah menyusahkan banyak pihak, termasuk pengguna.

Menurut laporan suara kerajaan negeri Buletin Mutiara semalam, Guan Eng menjelaskan bahawa Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus, telah mengulangi tawaran untuk mengambil alih pengurusan dan operasi perkhidmatan feri menerusi surat kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, pada 8 Disember 2015.

Surat itu menyatakan kesanggupan kerajaan negeri untuk mengambil alih pengurusan dan operasi perkhidmatan feri, dengan empat syarat.

Pertama, kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang liabiliti atau tanggungan hutang yang ditanggung oleh PPSB sehingga tarikh ambil alih perkhidmatan oleh kerajaan negeri, termasuk tanggungan pembayaran bekalan/perolehan yang telah pun ditempah oleh PPSB.

Kedua, kerajaan negeri diberi hak untuk mengambil alih kedua-dua jeti di Pangkalan Raja Tun Uda dan Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth termasuk aset yang berkaitan dengan perkhidmatan dan kemudahan baik pulih feri tanpa sebarang liabiliti dan tanggungan.

Ketiga, kerajaan negeri juga akan mengekalkan semua kakitangan Kumpulan Rendah/Sokongan yang bertugas dan terlibat secara langsung dengan operasi perkhidmatan feri. Bagi kakitangan pengurusan, ia tertakluk kepada budi bicara mutlak kerajaan negeri kelak.

Keempat, Kementerian Pengangkutan mesti meluluskan 30 lesen “water taxi” kepada kerajaan negeri bagi tujuan operasi serta tapak “docking berth” yang berkaitan.

Kementerian Pengangkutan telah membalas surat tersebut pada 30 Disember lalu dengan menawarkan taklimat berhubung cadangan mengambil alih pengurusan dan operasi perkhidmatan feri, yang akan diadakan di Putrajaya esok. – Roketkini.com