Berita

Guan Eng: Pemimpin UMNO yang mesra Israel, DAP pula difitnah

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kesal berikutan DAP difitnah menerima sejumlah dana dari Israel sedangkan pemimpin UMNO sangat mesra dengan pimpinan Israel.

“Mengapa kami diserang walaupun kami tidak pernah bertemu dengan Israel. Ada pemimpin yang telah bertemu dan berjabat tangan dengan Israel, mengapa ia tak jadi masalah?” katanya dipetik Malaysiakini.

Beliau dipercayai merujuk kepada beberapa pimpinan UMNO BN yang terbukti mesra dengan pemimpin Israel, antaranya Datuk Seri Najib Razak bertemu dan berjabat tangan dengan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu di Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun lalu,  malah Perdana Menteri itu dipuji portal berita Israel, Times of Israel.

Selain,  Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi bertemu Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barack di pertunjukan udara di Paris pada 2009, selain beberapa pimpinan UMNO BN lain.

Malaysia juga walaupun mendabik dada mengaku menyokong perjuangan Palestin, sebaliknya menjalin hubungan dagang dengan Israel yang nilainya berjumlah AS$1.529 bilion dolar pada 2013, peningkatan dua kali ganda berbanding 2012 berdasarkan perangkaan Israel Central Bureau of Statistic.

Justeru, Guan Eng menyifatkan serangan PAS yang akrab dengan pimpinan UMNO BN itu bersifat ‘dwistandard dan kemunafikan’ dengan disasar bagi merosakkan imej DAP dalam kalangan orang Melayu-Islam, selain mencipta kebencian terhadap pemimpin bukan Islam.

Menafikan sekeras-kerasnya fitnah itu dengan menganggapnya pembohongan berniat jahat dan fitnah, Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga menyatakan Razali Abdul Rahman yang tulisannya dipetik untuk menyerang DAP, tidak pernah bekerja di bawahnya atau diberi apa-apa tugas penting.

Pengarah Penyelidikan PAS Mohd Zuhdi Marzuki sebelum ini memetik tulisan Razali berkaitan fitnah kononnya DAP ditawar RM1.2 bilion pada pilihan raya umum lalu untuk membina sebuah pangkalan udara di Port Dickson jika menawan Putrajaya.

Guan Eng menggesa PAS menunjukkan bukti DAP ditawarkan dana berkenaan untuk menyokong dakwaannya atau berdepan tindakan undang-undang.

“Saya telah arahkan peguam saya untuk meneruskan tindakan undang-undang kepada sesiapa yang membuat tuduhan fitnah seperti itu.

“Kami juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar yang menyiarkan pembohongan itu,” katanya.