Berita

DAPSY: Polisi UMNO BN pincang punca tiga perempat mahasiswa berlapar

KUALA LUMPUR 11 JAN: Situasi tiga perempat mahasiswa di universiti tempatan mengaku tidak mampu membeli makanan menunjukkan kepincangan polisi ekonomi kerajaan UMNO BN yang memberi impak negatif kepada semua lapisan masyarakat.

Apatah lagi, Ketua Biro Ekonomi Sosialis Muda DAP (DAPSY), Raja Ahmad Iskandar Fareez, berkata tidak semua mahasiswa memiliki dana mencukupi untuk meneruskan hidup di universiti sama ada melalui pinjaman, biasiswa atau sebagainya.

Malah, katanya, bagi mereka yang keluarga kurang berkemampuan, sebahagian wang bantuan zakat, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mahupun biasiswa dikirim kepada keluarga di kampung untuk kegunaan seharian.

Tambahan pula, beliau berkata, kos universiti meningkat di samping perbelanjaan lain seperti sewa rumah (RM100-RM500 sebulan) dan pengangkutan (RM30-RM50 sebulan) menghimpit mahasiswa yang umum tiada sumber pendapatan tetap.

“Justeru, DAPSY mendesak kerajaan Persekutuan untuk mengambil berat dan meneliti isu peningkatan kos sara hidup yang dihadapi mahasiswa dan rakyat secara keseluruhannya,” kata beliau kepada Roketkini.

fb7c423b97ac5ded1dd64886203db3a3Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kajian sebuah badan bukan kerajaan (NGOO Pertubuhan Sukarelawan Muslim Malaysia (MVM) yang mendapati 96 peratus mahasiswa hidup dalam tekanan ekonomi.

Kaji selidik terhadap 25,632 mahasiswa daripada enam universiti mendapati 57 peratus hanya memperuntuk RM5 sehari untuk makanan, 44 peratus (makan mee segera) dan 41 peratus (makan nasi dengan telur goreng dan sos).

Raja Ahmad Iskandar berkata, kenaikan tarif elektrik, kenaikan tol, penarikan balik subsidi petrol dan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mengakibatkan kenaikan harga barang dan mengakibatkan kos sara hidup meningkat.

“Hal ini berlaku akibat polisi ekonomi kerajaan BN yang lebih memberi keutamaan kepada pertumbuhan ekonomi walhal mengabaikan aspek pengagihan peluang dan kekayaan yang saksama,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan mahasiswa berikhtiar dengan berniaga atau bekerja sambilan bagi menambah pendapatan mereka tetapi wujud kekangan seperti kekurangan modal, kekurangan wang untuk tambang ke tempat kerja

“Dalam hal ini, ada baiknya jika kepimpinan mahasiswa mahupun Kelab Keusahawanan di universiti membentuk saluran untuk melatih dan memberi modal permulaan atau pinjaman kepada mahasiswa untuk memudahkan mereka berniaga atau bekerja,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengucapkan tahniah kepada sekelompok kepimpinan mahasiswa universiti awam yang tampil dengan idea kreatif yang seperti menganjurkan hidangan tergantung atau suspended meals.

“Konsep itu memberi peluang kepada penderma untuk membeli makanan secara prabayar untuk rakan yang kurang bernasib baik. Difahamkan, program itu diamal di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP),” katanya.

Justeru, Raja Ahmad Iskandar menyeru kerajaan UMNO BN supaya lebih prihatin terhadap masalah rakyat terutama mahasiswa dengan mengambil tindakan lanjut supaya masalah itu tidak berlarutan.