Berita

Kerangka dasar bersama Pakatan Harapan lebih komprehensif

 

KUALA LUMPUR 11 JAN: Pakatan Harapan akan melancarkan kerangka dasar bersama pada pertengahan tahun ini, sebagai langkah susulan bagi memperkuat perjuangan ketiga-tiga parti gabungan selepas memeterai perjanjian bersama, Sabtu lalu.

Seakan-akan kandungan Buku Jingga, Ketua Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata kerangka itu bakal menjadi panduan kepada DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk mengorak langkah perjuangan bersama.

“Kerangka dasar itu sudahpun dibincangkan sebelum ini, cuma tinggal untuk ditulis secara hitam putih. Kalau dulu kita ada Buku Jingga dengan Pakatan Rakyat, kini kita ada dasar baru bersama versi Pakatan Harapan yang lebih komprehensif,” katanya kepada Roketkini.

SUFI6734Pada Persidangan Pemimpin Pakatan Harapan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), ketiga-tiga parti itu menandatangani perjanjian bersama yang antaranya menetapkan garis panduan lebih tegas terhadap setiap parti dalam melaksanakan dasar.

Mengulas penerimaan rakyat terhadap Pakatan Harapan, beliau berkata, kebanyakan mereka menerima baik penubuhan itu walaupun sebelum ini dilihat tidak bersatu ekoran tiada perjanjian yang mengikat semua parti gabungan.

“Sebaik sahaja perjanjian ditandatangani, saya lihat ada maklum balas yang positif dalam kalangan rakyat terutama mereka yang selama ini risau blok pembangkang tidak bersatu.

“Sekurang-kurangnya, rakyat kini nampak betapa ketiga-tiga parti senada dan seirama. Kita juga memberanikan diri untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa kita benar-benar bersama,“ katanya.

Malah, Saifuddin berkata, penerimaan rakyat itu dibuktikan lagi dengan pelancaran rasmi Pakatan Harapan peringkat negeri iaitu Johor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Perak.

“Sementara itu, beberapa negeri lain dalam masa terdekat juga Pakatan Harapan akan dilancarkan. Malah, aktiviti ceramah yang melibatkan ketiga-tiga parti juga sudah dilaksanakan,” katanya.