Berita

Pelancaran Pakatan Harapan gugat UMNO Johor yang pecah belah

KUALA LUMPUR 11 JAN: Penubuhan Pakatan Harapan yang diikat melalui perjanjian rasmi antara ketiga-tiga parti gabungan, bakal menggugat kedudukan UMNO Johor yang masih berpecah belah akibat pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin, beberapa bulan lalu.

Justeru, Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Johor, Ahmad Anwar Asyraf menyeru pimpinan Pakatan Harapan mengambil peluang itu untuk memastikan Johor dapat ditawan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“UMNO Johor sebenarnya agak goyah dengan pemecatan Muhyiddin. Mereka tidak boleh mendabik dada kononnya mereka kuat. Jadi, sangat penting bagi Pakatan Harapan Johor untuk melipat ganda usaha.

“Pakatan Harapan perlu mengambil kesempatan keretakan dalam UMNO Johor untuk memecahkan mitos Johor adalah kubu UMNO,” katanya kepada Roketkini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas prospek Pakatan Harapan berikutan termeterai perjanjian rasmi antara DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Sabtu lalu.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 28 Julai 2015 berikutan pergeserannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan mengakibatkan ahli dan pemimpin parti di negeri itu, berpecah belah.

ahmad anwar asyrafAhmad Anwar berkata, bukan mustahil untuk UMNO Johor ditumbangkan pada PRU 14 berdasarkan penerimaan positif pelbagai lapisan rakyat terhadap pakatan pembangkang di negeri itu.

“Sebelum inipun, dalam keadaan yang dikatakan mustahil, DAP menawan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan empat kerusi Parlimen. Jadi ia bukanlah mustahil untuk melihat angin perubahan bertiup di Johori,” katanya.

Malah, beliau berkata, penerimaan rakyat Johor terhadap ceramah anjuran Pakatan Harapan dan  pengedaran risalah penerangan disambut baik penduduk yang dahagakan perubahan.

Saya lihat pemikiran orang Melayu Johor agak terbuka dan dinamik dalam menilai parti politik, tidak seperti dahulu. Penerimaan mereka terhadap risalah, akhbar seperti Roket versi bahasa Malaysia dan program Pakatan Harapan agak baik,” katanya.

Ahmad Anwar juga yakin Pakatan Rakyat akan menumpu usaha memberi tawaran alternatif kepada rakyat dan tidak lafi terperangkap dengan isu sampingan yang boleh memesongkan hala perjuangan.

“Dalam keadaan negara terperangkap dengan pelbagai masalah, kemunculan Pakatan Harapan diharap memacu perubahan dengan syarat, Pakatan Harapan tidak terperangkap dengan perkara yang memesongkan isu utama.

“Sebaliknya, terus berusaha keras mengembeling usaha memberi tawaran alternatif untuk rakyat,” katanya.