Berita

BN Sabah tiada kesungguhan punca perbincangan cadangan RCI ditunda

KUALA LUMPUR 12 JAN: Kegagalan Jawatankuasa Pengurusan Teknikal untuk mengkaji cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah membuktikan kerajaan tiada kesungguhan untuk menyelesaikan masalah itu.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong berkata  tiada tindakan diambil kerajaan Barisan Nasional (BN) pada waktu yang ditetapkan untuk menghentikan krisis PATI sekalipun pendengaran umum RCI bermula sejak awal 2013.

Sedangkan, katanya, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Teknikal merangkap Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berjanji menyediakan laporan isu itu pada akhir 2015 tetapi  gagal mengotakannya sebaliknya menundanya kepada tahun ini tanpa memberi tarikh spesifik.

“Pairin perlu memberi jawapan jujur kepada rakyat sama ada mereka akan menyelesaikan isu itu atau tidak kerana masyarakat Sabah sudah menunggu terlalu lama.

“Jika ada apa-apa masalah yang menghalang laporan dari disiapkan secepat mungkin, mereka mesti memaklumi rakyat,” katanya pada kenyataan media, baru-baru ini.

Beliau berkata, masyarakat Sabah mahu isu isu PATI diselesaikan segera melalui sebuah jawatankuasa eksekutif untuk melaksanakan cadangan RCI tetapi jawatankuasa teknikal perlu menyiapkan kerja mereka terlebih dulu.

“Bila pelaksanaan kad pengenalan (IC) Sabah seperti cadangan kerajaan bermula? Jika Pairin mengatakan beliau tidak mampu bubarkan Jawatankuasa Teknikal, beliau harus menggunakan kuasanya sebagai pengerusi untuk menjalankan tugas sebaik mungkin.

Katanya, Pairin menerima cadangan dari semua pihak dan mengadakan sesi perbincangan bersama semua parti politik termasuk pembangkang, badan bukan kerajaan (NGO) dan  masyarakat sivil.

“Jika beliau gagal melunaskan janji kali ini, adakah Pairin akan bertanggungjawab dan meletak jawatan?” katanya.