Berita

PM patut beri penjelasan skandal 1MDB di sidang Parlimen khas

KUALA LUMPUR 12 JAN: Jika benar kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kononnya 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak menggunakan dana awam untuk membayar hutang syarikat itu, ia harus dijelaskan kepada umum secara terperinci.

Justeru, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua menyifatkan sidang Parlimen khas pada 26 Januari ini sebagai tarikh sesuai bagi Najib yang juga pengerusi syarikat itu untuk membuat  penjelasan, seterusnya ia dibahaskan.

Pada kenyataan media hari ini, beliau berkata, kegagalan berbuat demikian menunjukkan Najib tidak jujur sekaligus cuba menyorok hakikat sebenar mengenai syarikat yang terpalit dengan pelbagai skandal sejak beberapa tahun lalu.

Sebelum ini, Najib menyatakan kepada umum kononnya tiada dana awam digunakan 1MDB untuk menyelesaikan hutang syarikat dan ia disusuli kenyataan sokongan Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Bagaimanapun, Pua kekal skeptikal dengan kenyataan itu dan menyatakan: Setiap rakyat yang celik bidang kewangan tahu Najib menipu dalam kenyataannya, malah sebenarnya menyorokkan skandal itu dari perhatian umum.

“Najib memperdaya rakyat dengan dua perkata; pertama, masalah syarikat itu sudah selesai dan kedua jika masalah itu kononnya selesai, ia atas jaminan dari dana awam ” katanya.

Ia berikutan, kata Pua, ‘perjanjian’ antara International Petroleum Investment Corporation (IPIC) dan 1MDB berkaitan ‘pertukaran hutang untuk aset’ (debt for asset-swap) yang ditandatangani Jun lalu, hanya dibenarkan ekoran jaminan tidak terus (indirect) diberi Kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, jika 1MDB gagal mematuhi perjanjian bersama itu, berkemungkinan besar dana awam terpaksa digunakan bagi membayar pampasan kepada rakan niaga 1MDB itu sekaligus membuktikan masalah syarikat itu belum selesai sepenuhnya.

“Ia sama seperti kes penjualan Bandar Malaysia kepada Iskandar Waterfront Holdings dan konsortium China Railway Engineering (IWH-CREC) yang sebenarnya belum diselesaikan. Ia hanya akan selesai pada Jun tahun ini, dengan anggapan syarat yang ditetapkan perjanjian itu dipenuhi syarikat terlibat,” katanya.

Malah, kata Pua, hasil penjualan 60 peratus aset Bandar Malaysia tidak wajar digunakan untuk membayar hutang, sebaliknya harus disalur kepada Perbendaharaan Negara seterusnya kepada rakyat yang memerlukan.

“Najib mungkin lupa yang beliau meluluskan pinjaman kecemasan RM950 juta untuk 1MDB Febuari tahun lalu, walaupun memberi jaminan di Parlimen kononnya kerajaan tidak akan  menjamin 1MDB.

“Tambahan pula, kerajaan turut menyediakan surat sokongan buat 1MDB untuk meminjam RM650 juta,” katanya. -Roketkini.com