Berita

DAP alu-alukan cadangan Mohamad Sabu hidupkan Pilihanraya Kerajaan Tempatan

KUALA LUMPUR 12 JAN: Pilihanraya Kerajaan Tempatan wajar dihidupkan semula bagi mengelak penyalahgunaan kuasa ekoran amalan sedia ada memberi mandat penuh kepada ahli politik untuk membuat lantikan.

Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mentakab, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, berkata pelantikan melalui orang politik kurang baik kerana ada kalanya dibuat atas faktor kepentingan politik.

“Sebaliknya, melalui pilihan raya, rakyat boleh memilih wakil mereka yang benar-benar berwibawa, malah boleh elak salah guna kuasa.

“Kuasa akan jadi seimbang dan ia lebih terarah kepada kepentingan rakyat dan negara,” katanya kepada Roketkini sambil menyatakan ia dapat mengelakkan pelantikan individu lantikan Pihak Berkuasa Negeri yang berlandaskan sentimen politik.

Sedangkan, beliau yang mengalu-alukan cadangan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dalam isu hal itu, berkata ia perlu berikutan kedudukan PBT lebih dekat dengan rakyat berbanding Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen.

“Ahli Majlis terletak di dewan ketiga iaitu barisan hadapan. Sebab itu, mereka penting bagi membuat dasar dan rakyat akan melihat mereka dahulu, kemudian barulah Adun (dewan kedua) dan Ahli Parlimen (dewan pertama),” kata bekas Ahli Majlis Daerah Selayang itu.

Sabtu lalu, Mohamad Sabu pada Persidangan Pemimpin Pakatan Harapan Sabtu lalu meminta supaya negeri yang ditadbir Pakatan Harapan menghidupkan semula pilihan raya Kerajaan Tempatan bagi mengelakkan unsur penyelewengan.

DAP beberapa tahun lalu pernah mencadangkan hal sama tetapi dibantah pelbagai pihak atas alasan berunsur perkauman sedang parti itu mahu mengembalikan hak dan kuasa memilih ke tangan rakyat.

Mengikut sejarah, pilihan raya Kerajaan Tempatan pertama kali diadakan setahun sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan iaitu pada 1956 manakala kali terakhir pada 1963 berikutan proses demokrasi itu digantung akibat konfrantasi Malaysia-Indonesia.

Semakan juga mendapati 101 daripada 192 negara di dunia mengadakan pilihan raya seumpama itu.

Bagaimanapun, Tengku Zulpuri berkata, seseorang ahli majlis harus memiliki pelbagai kemahiran mentadbir kerana kegagalan menjalankan tanggungjawab itu boleh menjejaskan urus tadbir Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). -Roketkini.com