Berita

Tak perlu jenama semula tapi mansuhkan kerana BTN suburkan perkauman

KUALA LUMPUR 12 JAN: Cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman untuk menjenamakan semula Biro Tata Negara (BTN) dikecam berikutan pengisiannya ketara berbaur perkauman.

Penolong Setiausaha DAP USJ Subang Jaya, Nor Miswary Ramli, berkata tanggapan pelbagai lapisan masyarakat terhadap program itu juga buruk ekoran pengisiannya menjurukan kepada menyuburkan sentimen perkauman.

“Idea penjenamaan semula BTN itu idea sia-sia, ia seolah-olah hanya tukar cat kereta sahaja tapi pemandunya tetap sama, penumpang tetap sama, malah niatnya tetap sama,” katanya kepada Roketkini.

Sebelum ini, Azalina dilapor berkata program BTN memerlukan perubahan khususnya dari sudut pengisian yang relevan memandangkan kebanyakan sasaran peserta terdiri generasi muda.

Bagaimanapun, cadangan itu dikritik Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang mendesak Putrajaya memansuhkan BTN kerana ia hanyalah program sia-sia dan membazir wang rakyat.

Pertengahan tahun lalu, media tempatan ada melaporkan pegawai kanan BTN menggunakan istilah ‘si mata sepet’ dan ‘si botol’ pada perjumpaan tertutup Puteri Umno yang menggambarkan kaum Cina dan India.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang juga pernah mencadangkan supaya peruntukan untuk BTN yang meningkat 10 kali ganda iaitu RM200 juta pada 1990-an berbanding RM20 juta pada 1980-an, digunakan untuk menyuburkan patriotisme, perpaduan antara kaum dan persefahaman antara agama. 

Menegaskan BTN harus dimansuh, Nor Miswary berkata tujuan program berkenaan jelas semata-mata untuk memastikan setiap peserta program didoktrin dengan dakyah kononnya UMNO parti pemerintah terbaik.

Beliau yang menyifatkan BTN sebagai alat propaganda UMNO BN, berkata penggunaan dana awam bagi memperkukuh kekuasaan politik suatu bentuk ketirisan.

“Lebih baik dana berkenaan digunakan untuk kepentingan mahasiswa seperti menyelesaikan isu berlapar baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata, pemerintahan politik yang baik tidak memerlukan agensi seperti BTN untuk menjalankan propaganda, sebaliknya kepimpinan melalui teladan selalunya memenangi hati rakyat.

“Bila seorang itu memimpin dengan baik, maka orang itu akan diterima dengan baik tanpa perlu ada propaganda seperti BTN,” katanya. – Roketkini