Berita

Najib enggan mengaku gagal urus ekonomi tapi salahkan faktor luar

KUALA LUMPUR 13 JAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertanggungjawab sepenuhnya atas krisis ekonomi yang semakin meruncing akibat kegagalan mengurus negara dan dasar pemerintahannya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata Najib yang juga Menteri Kewangan punca kegagalan Malaysia berdaya tahan ketika krisis ekonomi sekalipun meraih keuntungan dari kenaikan harga minyak tinggi dan kadar faedah dunia rendah pada tahun sebelumnya.

“Apa berlaku kepada lebihan pendapatan semasa pemerintahan Najib bila harga minyak mencecah AS$100 per tong?

“Keuntungan berlebihan tahun sebelumnya harus disimpan atau dilabur untuk memastikan kita bersedia menghadapi penurunan harga minyak atau kemelesetan ekonomi, bukan dibazir melalui rasuah, penyalahgunaan dan salah urus,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Sebelum 2007, Pua pada kenyataan media hari ini, berkata ketika Najib belum memegang jawatan Menteri Kewangan, harga minyak mentah kurang AS$25 tetapi ia tidak merencat perkembangan ekonomi Malaysia.

Justeru, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu, berkata jelas dasar ekonomi pada pemerintahan Najib seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) gagal mencapai matlamat.

Kata Pua, Faktor tertentu memang di luar kawalan Malaysia tetapi situasi ekonomi negara diburukkan lagi dengan kegagalan, kelemahan, kesilapan dan salah guna kuasa pada pemerintahan Najib.

“Ia melucukan apabila beliau memetik peningkatan kadar faedah rizab AS sebagai faktor, sedangkan ia diramalkan berlaku tiga tahun dulu.

“Najib harus ‘bersyukur’ kerana ada tiga tahun untuk hadapi kesan itu,” katanya merujuk alasan Najib bahawa negara bakal berdepan situasi ekonomi mencabar berikutan peningkatan kadar faedah rizab persekutuan Amerika Syarikat (AS) dan kegawatan ekonomi China, dua hari lalu.

“Ironinya, ikut pengakuan Najib, kita semua bergantung kepada harga minyak dunia dan kadar faedah AS membuktikan pencapaian sederhana ekonomi semasa kepimpinannya kerana harga minyak di puncak dan kadar faedah rendah, bukan disebabkan pengurusannya,” katanya. -Roketkini.com