Berita

Kos pengangkutan tinggi antara punca mahasiswa ‘ikat perut’

KUALA LUMPUR 12 JAN: Kegagalan kerajaan Persekutuan mengawal kenaikan mendadak kos pengangkutan awam antara punca mahasiswa terutama di bandar dicengkam masalah ekonomi membebankan.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming berkata kerajaan UMNO BN gagal mengawal kos pengangkutan awam antaranya Keretapi Tanah Melayu (KTM), transit aliran ringan (LRT), monorel dan bas awam sekaligus membebankan mahasiswa.

Agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), katanya, gagal menyediakan perkhidmatan pengangkutan berkualiti kepada rakyat termasuk mahasiswa hingga mengakibatkan mereka memilih menggunakan kenderaan sendiri.

“SPAD gagal memastikan pengangkutan awam termasuk perkhidmatan bas yang komprehensif dan menyeluruh.

“Sesetengah mahasiswa yang terpaksa menggunakan kereta ke universiti, mereka terpaksa membayar kadar tol yang tinggi akibat kenaikan Oktober lalu,” katanya pada Roketkini.

Beliau mengulas kajian badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Sukarelawan Muslim Malaysia (MVM) yang mendapati majoriti (96 peratus) mahasiswa hidup dalam tekanan ekonomi sehingga terpaksa ‘ikat perut’.

Justeru, Kian Ming mencadangkan kerajaan Persekutuan meluaskan subsidi pengangkutan melalui kad LRT, KTM dan bas Rapid KL supaya mahasiswa diberi kelonggaran membayar kadar tambang lebih rendah.

Mahasiswa, katanya, harus memberi tekanan kepada pentadbiran universiti untuk memudahkan kehidupan mereka, misalnya memberi kontrak pembekalan makanan secara tender terbuka supaya makanan lebih murah.

“Pentadbiran universiti juga perlu meluaskan lagi perkhidmatan bas percuma kepada mahasiswa yang menetap berhampiran universiti untuk mengurangkan kos pengangkutan mahasiswa.

“Universiti juga harus menyediakan peluang pekerjaan di universiti kepada mahasiswa terlebih dulu sebelum memberi sub-kontrak kepada warga asing seperti amalan universiti di luar negara,” katanya.

Beliau bimbang mahasiswa pada masa depan terus terbeban dengan pelbagai kos sara hidup yang semakin meningkat, jika dasar ekonomi kerajaan UMNO BN pada hari ini berlarutan. -Roketkini.com