Berita

Hannah Yeoh, Nurul Izzah tersenarai antara wanita paling berpengaruh dunia

KUALA LUMPUR 13 JAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Jaya, Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar tersenarai sebagai antara 250 wanita paling berpengaruh di dunia.

Ia berdasarkan tinjauan Richtopia melalui laman web http://powerfulwomen.co yang menyaksikan Nurul Izzah pada kedudukan ke-108 manakala Hannah Yeoh (177).

Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR dipilih kerana aktif dalam kerja kemasyarakatan yang menguntungkan rakyat di samping proaktif dalam menjalankan tugas.

Hannah Yeoh yang juga Setiausaha Antarabangsa Wanita DAP Kebangsaan pula membuktikan kehebatannya menjadi wanita pertama dipilih sebagai Speaker Dewan Negeri Selangor yang menunjukkan sikap amanah dan bertanggungjawab seiring tugasnya sebagai wakil rakyat.

Kedua-dua pemimpin Pakatan Harapan itu juga tersenarai kerana prinsip gabungan parti yang lantang menyuarakan hak dan menolak penindasan terhadap wanita seperti kempen kesedaran ‘Rogol Adalah Rogol, Tiada Alasan’ yang dilancarkan Ahli Parlimen Damansara Utama, Yeo Bee Yin baru-baru ini.

Mengikut RichTopia, tinjauan dibuat bukan saja berdasarkan tahap pengaruh dan perilaku tokoh wanita yang unggul dan memberi inspirasi tetapi juga penglibatan mereka dalam media sosial seperti Facebook, Twitter, Youtube, LinkedIn dan Instagram.

Menduduki tempat pertama ialah calon Presiden Amerika Syarikat 2016, Hillary Clinton diikuti pengacara terkenal, Oprah Winfrey (kedua) dan penulis novel Harry Potter, J K Rowling (ketiga).

Sementara itu, sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Otai Reformasi menyatakan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tercalon untuk memenangi Hadiah Keamanan Nobel atas perjuangannya menegakkan hak rakyat dan menuntut kerajaan adil lagi demokratik.

Justeru, NGO itu menjalankan kempen menyokong pencalonan Anwar selain melobi pembebasannya melalui pelbagai aktiviti. -Roketkini.com