Berita

Gagal serap turun-naik harga komoditi dunia bukti ekonomi negara lemah

KUALA LUMPUR 13 JAN: Semakan Bajet 2016 yang terpaksa dilakukan mencerminkan kelemahan asas ekonomi Malaysia berikutan gagal menyerap kejutan turun naik harga komoditi utama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku, Lau Weng San, berkata ia berikutan bajet itu dirangka menggunakan harga minyah mentah USD40 seton sebagai kiraan tetapi nilainya menjunam ke paras USD32 seton dan dijangka berterusan.

“Secara teknikal, ia mencerminkan betapa lemah asas ekonomi negara kita sehingga penyelarasan demi penyelarasan perlu dijalankan akibat kejatuhan harga komoditi,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Beliau menyifatkan semakan itu tiada makna untuk rakyat kerana mereka terus terhimpit dalam inflasi yang semakin meningkat dan jurang pendapatan antara miskin dan kaya yang semakin membesar.

“Ia hanya bermakna jika beban rakyat diringankan melalui pembatalan atau pengurangan kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Namun, dalam keadaan pendapatan Kerajaan Persekutuan menyusut, sudah pasti ia mustahil berlaku,” katanya.

Weng San berkata, Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu memberi penjelasan mengenai cara penyelesaian yang bakal dilaksanakan untuk mengisi kekurangan pendapatan berikutan kejatuhan harga itu.

Beliau bimbang kadar enam peratus GST boleh dinaikkan lagi pada masa depan jika keadaan defisit tidak bertambah baik kerana kerajaan tidak pernah menafikan kemungkinan berkenaan.

“Adakah perbelanjaan kerajaan akan dikurangkan? Adakah kadar GST akan dinaikkan untuk menampung kekurangan pendapatan ini?” katanya.

Kata Weng San, semakan itu juga tidak bermakna kepada rakyat jika kerajaan terus mengekal perbelanjaan yang boros sedangkan beliau percaya pentadbiran bersih menjadi kunci utama untuk memberi kesenangan kepada rakyat.

“Kerajaan Persekutuan perlu mengamalkan pentadbiran bersih dan telus bagi memberi kesenangan kepada rakyat dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu,” katanya.