Berita

Kit Siang kunjungi Kem Kamunting imbau kezaliman ISA

KAMUNTING 13 JAN: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang hari ini mengunjungi Kem Tahanan Kamunting di sini, tempat beliau menghabiskan masa selama bertahun-tahun lamanya sebagai tahanan politik sebanyak tiga kali.

Kunjungan itu disambut beberapa pegawai di hadapan pintu masuk kem itu, sebelum bersalaman, malah beramah mesra dengan Kit Siang, disusuli ucapan ringkas mengenai nostalgia penahanannya.

Diiringi pimpinan DAP Perak dan DAPSY, Kit Siang menyifatkan kemajuan dari segi hak asasi di negara ini tidak ada perubahan walaupun Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuh tetapi diganti dengan akta lebih zalim.

Antaranya, kata beliau ialah Akta Kesalahan Keselamatan dan Langkah-langkah Khas (Sosma), Akta Pencegahan Jenayah (POTA) dan terbaru, Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang hanya merencatkan hak asasi manusia.

Dalam nada bersemangat, beliau turut menyeru rakyat supaya terus menyokong Pakatan Harapan sekaligus menjadikan kemenangan gabungan itu sebagai manifestasi kemenangan terhadap hak asasi.

IMG-20160113-WA0001Terdahulu, Kit Siang bersama rombongan beramah mesra di warung milik peniaga Melayu yang terletak bertentangan dengan kem berkenaan.

Rata-rata pelanggan warung itu terdiri dari orang Melayu yang menyambut baik rombongan berkenaan, malah sebahagian mereka meminta bergambar bersama pemimpin veteran DAP itu.

Pengarah Biro Hal-Ehwal Antarabangsa DAPSY, Howard Lee Chuan How yang turut sama dalam rombongan itu menyifatkan sambutan itu memberi petanda betapa Kit Siang diterima baik oleh penduduk Melayu.

“Ramai mahu ambil gambar dengan Kit Siang, rata-rata mereka pula orang Melayu,” katanya sekaligus menangkis tohmahan kononnya DAP tidak diterima golongan berkenaan kerana kononnya bersikap anti-Melayu dan anti-Islam.

IMG-20160113-WA0003Kit Siang pada usia 28 tahun ditahan ISA selama 18 bulan berikutan Tragedi 13 Mei 1969 sedangkan beliau ketika itu berada di Kota Kinabalu selepas dinasihati supaya tidak pulang ke Kuala Lumpur, lokasi tercetusnya pergolakan kaum itu.

Sebaliknya, beliau mengambil tindakan berani, malah bertegas untuk tetap pulang ke Kuala Lumpur kerana yakin tidak melakukan kesalahan membabitkan tragedi berkenaan.

Pada 1979, beliau ditahan atas dakwaan mengikut Akta Rahsia Rasmi kerana mendedahkan butiran jual beli senjata yang mencurigakan antara kerajaan dengan sebuah syarikat berpangkalan di Switzerland.

Kejituan perjuangannya terus teruji apabila menjadi antara mangsa Ops Lalang pada 1987 yang menyaksikan ramai pemimpin parti pembangkang ditahan ISA menyebabkan Kit Siang menghuni Kem Kamunting lagi, kali itu selama 17 bulan.