Berita

Datuk Bandar Kuala Lumpur tidak faham demokrasi?

KUALA LUMPUR 14 JAN: Kenyataan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz yang menolak cadangan mengembalikan Pilihanraya Kerajaan Tempatan kerana bimbang pembangkang menang, bercanggah dengan nilai demokrasi negara.

Sedangkan, Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Subang, Edry Faizal Eddy Yusof yang menyifatkan proses pendemokrasian sangat penting, berkata amalan demokrasi memberi hak kepada rakyat termasuk memilih pemimpin.

“Jawatan Datuk Bandar melibatkan pelbagai hal urus tadbir dan memberi kesan kepada rakyat, maka tentu rakyat mahu seseorang yang bertanggungjawab dan mendahulukan mereka dalam semua perkara untuk jadi wakil.”

“Cara lantikan sekarang, jawatan Datuk Bandar dipilih Menteri Wilayah Persekutuan membuatkan beliau setia dan bertanggungjawab kepada menteri berkenaan, bukannya penduduk tempatan kerana legitimasi rakyat tidak ada,” katanya.

Mhd Amin pada temu bual dengan BFM baru-baru ini tidak bersetuju pelaksanaan Pilihanraya Kerajaan Tempatan kerana bimbang ia dimenangi pembangkang dan menimbulkan masalah kepada hubungan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan kerajaan Persekutuan.

Isu berbangkit berikutan saranan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu pada Persidangan Pimpinan Pakatan Harapan Sabtu lalu dan dialu-alukan pimpinan DAP yang sedari dulu memperjuang proses demokrasi itu.

Pada kenyataan media hari ini, Edry berkata ia menggambarkan Datuk Bandar Kuala Lumpur lebih peduli untuk memenuhi kehendak menteri dan kerajaan Persekutuan berbanding warga ibu kota.

“Alasan beliau Kerajaan Persekutuan lebih tahu kehendak penduduk Kuala Lumpur, oleh itu lebih layak menggubal dasar dan Datuk Bandar cuma laksanakannya.

“Tapi tanggapan itu bercanggah dengan kenyataannya sendiri apabila menyatakan pembangkang akan menang dan menguasai pentadbiran ibu kota dengan nada negatif,” katanya.

Pilihan raya kerajaan tempatan bukan sekadar memberi kuasa memilih kepada rakyat tetapi mengembalikan Kuala Lumpur kepada warganya. Edry berkata, pihak yang menang lebih tahu kehendak warga kota berbanding kerajaan Persekutuan.

“Penduduk dapat menentukan sendiri hala tuju pembangunan kawasan mereka lalu mewujudkan kebertanggungjawaban pemimpin kepada rakyat dan kebertanggungjawaban rakyat kepada kawasan setempat,” katanya. -Roketkini.com