Berita

Golongan muda mampu ubah persepsi negatif terhadap DAP

PETALING JAYA 14 JAN: DAP berhasrat menambah bilangan ahli dari kalangan Bumiputera termasuk orang Melayu bagi mengimbangi komposisi kaum dalam parti itu, sekaligus mengelak tohmahan kononnya ia didominasi satu kaum sahaja.

Malah, Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming, berkata wujud cadangan dari pimpinan DAP itu untuk mencapai sasaran 50 peratus keahlian Bumiputera baik kaum Melayu mahupun etnik dari Sarawak dan Sabah.

Bagaimanapun, beliau mengakui pimpinan parti itu belum mencapai kata sepakat dalam hal berkenaan, selain pandangan ahli akar umbi juga perlu diambil kira sebelum melaksanakan sasaran itu.

“Ini dilema yang dihadapi DAP, ada pemimpin yang mahukan penambahan kaum Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak tetapi pada masa sama, ada juga kurang bersetuju,” katanya.

Beliau berkata demikian pada forum bertajuk ‘Mampukah parti pembangkang memenangi undi melayu pada pru-14’ anjuran Mahasiswa Keadilan dekat sini, malam tadi.

Panelis lain ialah Ketua Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah; Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad dan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli.

Dalam pada itu, Kian Ming turut meminta pimpinan DAP supaya berhati-hati membuat kenyataan yang boleh menyinggung sensitiviti sesuatu kaum kerana parti itu berpegang kepada prinsip demokrasi dan keterbukaan kepada semua kaum dan agama tanpa sebarang prejudis.

Katanya, DAP dalam konteks Pakatan Harapan jika mahu meraih undi orang Melayu, parti itu harus menangani masalah yang dihadapi kaum itu sekaligus mengubah tanggapan mereka terhadap parti itu.

“Tanggapan orang Melayu terutama golongan muda mampu diubah dengan syarat pimpinan DAP harus mengelak membuat kenyataan yang boleh merugikan diri dan parti,” katanya.

Mengikut statistik pengundi Melayu di beberapa kawasan yang dimenangi Pakatan Rakyat pada pilihan raya lalu, kata Kian Ming, undi golongan muda lebih dominan berbanding undi golongan lebih tua.

“Banyak kawasan, DAP dan parti gabungan kalah di saluran golongan tua tetapi melonjak di saluran orang muda,” katanya yang turut membentang carta analisis pola pengundian.

Khalid turut memahami dilema DAP berkaitan isu berkenaan kerana setiap langkah yang diambil parti itu akan mudah disalah anggap.

“Kalau buat salah, kalau tak buat pun salah. Kalau pergi masjid, macam-macam tohmahan dilempar, kalau tak pergi masjid, akan dituduh anti-Islam. Ini yang menimpa DAP,” katanya.

Beliau turut menangkis tohmahan pimpinan UMNO BN kononnya orang Melayu bakal kehilangan kuasa jika Pakatan Harapan memerintah kerana orang Melayu selama ini hidup miskin ketika UMNO, sebuah parti Melayu berkuasa lebih 50 tahun lamanya.

“Bagaimana Melayu yang menjadi populasi terbanyak di Malaysia, boleh hilang kuasa politik? Ini tidak masuk akal sama sekali. Kasihan DAP yang selalu menjadi mangsa serangan perkauman UMNO BN,” katanya. -Roketkini.com