Berita

DAPSY kutuk IS akibatkan tragedi pengeboman di Indonesia

KUALA LUMPUR 15 JAN: DAPSY hari ini menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi pengemboman dan kejadian tembak-menembak di Jakarta, Indonesia, semalam.

“Kami ingin melahirkan rasa penuh solidariti terhadap warga Indonesia, takziah buat keluarga mangsa dan simpati kepada mereka yang turut tercedera dalam tragedi pengeboman serta kejadian tembak-menembak di Jalan Thamarin, Jakarta,” kata Setiausaha Kebangsaan DAPSY, Bryan Lew Chee Kwan pada kenyataan media, hari ini.

Menyifatkannya sebagai tindakan tidak berperikemanusiaan, beliau mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang dipercayai didalangi Tentera Militan Negara Islam (IS) yang mengakibatkan dua warga awam, terbunuh.

“Kami berharap rakyat Indonesia kembali pulih dari tragedi ngeri itu. Bersama-sama kita akan berdiri teguh kerana tidak ada tempat di dunia ini untuk keganasan seumpama itu. Doa dan ingatan kami bersama kamu, Jakarta,” katanya.

Semalam, Indonesia digemparkan dengan kejadian tembak-menembak dan pengeboman bunuh diri yang mengorbankan tujuh orang termasuk lima penyerang disahkan sebagai militan IS, manakala dua lagi mangsa adalah orang awam warga Kanada dan Indonesia. -Roketkini.com