Berita

Pesawah Keningau terjejas akibat perlombongan pasir

KENINGAU 15 JAN: Nasib pesawah di sekurang-kurangnya sembilan kampung sekitar sini tidak menentu berikutan bekalan air untuk pengairan sawah padi seluas sekitar 600 ekar terganggu akibat kerja perlombongan pasir dan lencongan sungai.

Antaranya Kampung Luanti, Kampung Sodomon, Kampung Marasak, Kampung Panui, Kampung Marapok, Kampung Magatang, Kampung Ambual, Kampungg Pantai Baru dan Kampung Linsudan.

Pengerusi DAP Keningau, Peter Saili yang menerima banyak aduan penduduk, berkata aktiviti pengorekan dan lencongan sungai air di Sungai Pengalan menjadikan paras air susut dan mengganggu fungsi pam pengairan sawah di Kampung Linsudan.

kg linsudan 2“Penduduk sudah buat aduan kepada pihak berkuasa tapi sampai hari ini tiada tindakan wajar diambil. Kita harap mereka lakukan sesuatu segera seperti mengadakan alternatif lain supaya pesawah dapat mengusahakan kembali tanah mereka,” katanya kepada Roketkini.

Menyatakan masalah itu menyebabkan pendapatan pesawah terjejas teruk, Ketua Wanita DAP Keningau Clare Taunik turut mendesak supaya aktiviti perlombongan itu dihenti sementara sehingga masalah pesawah diatasi.

Pada kenyataan media, Setiausaha DAP Sabah Junz Wong, berkata aktiviti perlombongan itu menyebabkan pelebaran dan ketidakseimbangan tebing sungai itu boleh mengakibatkan tanah runtuh.

kg linsudan 1“Penduduk mendesak supaya kementerian berkaitan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat perlombongan untuk menghentikan aktiviti itu.

“Kita mahu pihak berkuasa konsisten memantau dan tegas terhadap sebarang aktiviti perlombongan haram yang dikhuatiri memberi kesan terhadap alam sekitar.

“Saya akan bawa isu itu ke sidang Dewan Undangan Negeri,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Likas itu.

Keningau sebuah daerah pedalaman Sabah dengan majoriti penduduk dari suku kaum Kadazandusun yang popular dengan aktiviti pertanian, penternakan dan pelancongan. -Roketikini.com