Berita

JPA: Mengapa sektor pendidikan jadi keutamaan pemotongan bajet?

KUALA LUMPUR 21 JAN: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim mempersoal peranan kabinet yang seakan-akan ‘terbenam’ ekoran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak merujuk badan eksekutif sebelum melaksanakan keputusan melibatkan kepentingan awam.

“Kenapa keputusan yang sebegitu penting dan mendatangkan kesan yang besar dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), dan bukannya kabinet?” katanya pada kenyatraan media hari ini.

Menyifatkan penggantungan biasiswa sebagai tidak munasabah, beliau juga hairan berikutan wujud pendirian berbeza JPA dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) membabitkan isu pemberian biasiswa kepada mahasiswa berkelayakan.

Kata Naib Pengerusi DAP itu, Mara mengambil pendekatan berbeza dengan tidak menyekat penyaluran biasiswa tetapi JPA menghenti pemberian biasiswa ekoran pemotongan bajet sektor pendidikan.

“Terdapat cakap-cakap mengatakan biasiswa MARA tidak terjejas. Jika benar, ia bermakna pendekatan berciri kaum digunakan kerajaan dalam amalan pemotongan kos. Ia sangat-sangat tidak boleh diterima,” katanya.

Kerajaan Persekutuan dilapor menggantung biasiswa JPA bagi program pra-universiti, di tengah-tengah kejatuhan pendapatan negara hingga menimbulkan kemarahan banyak pihak..

Media juga melapor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Wee Ka Siong membangkitkan isu itu dalam mesyuarat kabinet semalam berikutan beberapa aduan mahasiswa.

,Malah, Teresa berkata, arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menggesa supaya Ketua Setiausaha agensi terbabit merangka pelan penyelesaian membuktikan lagi tindakan itu, sama sekali tidak wajar.

Justeru, Teresa menggesa supaya kerajaan mengambil langkah tegas dengan tidak memotong sebarang bajet membabitkan sektor pendidikan berikutan ia akan memberi kesan buruk kepada mahasiswa di institusi pengajian tinggi tempatan mahupun luar negara.

“Pendidikan memainkan peranan penting dalam pembentukan tenaga kemahiran negara. Tindakan JPA tidak boleh diterima hinggakan sektor pendidikan jadi keutamaan kerajaan dalam amalan pemotongan bajet,” katanya.