Rencana

Dilema DAP

SEKALI lagi, perhatian tertumpu kepada DAP, kali ini disebabkan kajian terbaru Institut Darul Ehsan (IDE) yang mendapati hampir dua pertiga responden Melayu di Selangor percaya DAP ialah sebuah parti berasaskan perkauman yang hanya mementingkan komuniti Cina, manakala separuh daripada mereka percaya DAP anti-Melayu dan anti-Islam.

Malangnya, imej meluas yang tersasar itu, menunjukkan realiti sebenar yang terpaksa dihadapi DAP. Ia naratif yang ditanam secara spesifik oleh UMNO dan jentera propagandanya melalui media, sistem pendidikan kebangsaan dan program latihan sivik kerajaan.

Cauvinis Cina 

Memotret DAP sebagai orang jahat dalam kalangan Melayu adalah strategi rejim pemerintah. Dari sudut pandangan mereka, ia  sesuatu yang rasional. Apabila asas sebuah parti didasarkan pada penyebaran naratif berasaskan kaum, contohnya UMNO sebagai pelindung Melayu dan satu-satunya kubu menghalang orang Cina daripada mengawal negara dan menghukum Melayu sehingga menderita seperti orang Palestin, parti itu terpaksa bergantung kepada penggunaan ‘ancaman Cina’ untuk terus hidup.

Secara politik, ancaman itu wujud disebabkan DAP sebuah parti yang sering dilabel sebagai parti Cina walaupun secara fakta, DAP memiliki lebih ramai wakil rakyat berkaum India daripada MIC. Malah, DAP adai wakil Melayu di setiap peringkat badan perundangan – Senat, Dewan Rakyat, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kerajaan tempatan.

Naratif anti-DAP  jelas jika kita perhatikan propaganda didukung pemimpin UMNO dan jentera media mereka. Beberapa tahun kebelakangan ini, DAP dituduh, antaranya, cuba untuk menukar Malaysia kepada sebuah negara Kristian, membocorkan rahsia negara kepada pemimpin PAP di Singapura dan mengakibatkan rusuhan kaum 13 Mei. Walaupun semua dakwaan itu melucukan dan sering berakhir dengan tindakan undang-undang di bawah jenayah fitnah yang memihak kepada pemimpin DAP, cubaan menakut-nakutkan dengan menggunakan isu kaum dan agama ini terus diulang berkali-kali.

Semasa Perhimpunan Agung Umno yang baru berlangsung, Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Razak malah menyatakan dalam ucapan dasarnya bahawa rakyat Malaysia cuma ada dua pilihan politik. “Sama ada gabungan yang dipimpin oleh Umno ataupun yang dipimpin atau didominasi oleh DAP. Bermakna, sekiranya Umno ditolak, negara ini akan diperintah oleh mereka yang anti perjuangan Islam serta menolak perjuangan Melayu dan Bumiputera.”

Selain Presiden UMNO, DAP menjadi sasaran semua pihak yang cuba menjadi batu api. Bukan PKR, bukan Pas, bukan Amanah tetapi DAP – sebuah parti yang tidak bertanding di mana-mana kawasan tandingan Umno pada dua pilihan raya umum lepas. Jadi, bagaimana DAP boleh dianggap musuh nombor satu Umno sedangkan kedua-dua parti itu, buat masa ini, tidak pernah lagi menjadi pesaing dalam pilihan raya?

Malah, UMNO menunjukkan ia akan mencuba sedaya upaya untuk mencipta persaingan ‘Cina-Melayu’ apabila pada pilihan raya umum lepas, Umno merampas kerusi MCA di Gelang Patah untuk meletak bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Abdul Ghani Othman sebagai pesaing Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang. Dengan cara itu mereka boleh mewajarkan dakwaan mereka bahawa Cina DAP datang ke Johor untuk mencabar kekuasaan Melayu.

Dan jika berurusan dengan dakwaan palsu UMNO yang berterusan itu, tidak mencukupi, DAP kini terpaksa berdepan dengan PAS. Setelah perpecahan Pakatan Rakyat dan pengembalian parti Islamis itu kepada konservatisme garis keras, PAS mensasarkan DAP, lalu memperkukuh persepsi bahawa ia adalah anti-Islam.

Sebuah ilustrasi berkenaan hal ini ialah dakwaan Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zuhdi Marzuki yang cuba mencetuskan prejudis Muslim dengan membuat kenyataan berani mati kononnya DAP ditawar RM1.2 bilion oleh Israel sebagai pertukaran untuk sebuah pangkalan tentera di Port Dickson jika parti itu menawan kerajaan Persekutuan. Kenyataan yang tidak dapat dibuktikan Zuhdi itu, berulang kali disangkal sebagai ‘fitnah berniat jahat’ berasaskan sumber tidak sahih.

Malangnya, dakwaan liar pemimpin Pas terhadap DAP semakin menjadi-jadi. Baru-baru ini, Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan Tantawi kesal dan bersetuju untuk menarik balik kenyataan tidak berasasnya tentang kerajaan negeri Pulau Pinang yang dipimpin DAP, dan diperintahkan membayar kos RM10,000 oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.  

Sebelum itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa pengembalian Pilihanraya Tempatan boleh mencetuskan rusuhan kaum dan dominasi Cina di kawasan bandar dan menekankan bahawa ‘cauvinis’ DAP adalah penggerak utama undi ketiga. Tuduhan berniat jahat seumpama itu yang sama sekali mengabain fakta bahawa perbandaran pesat sejak tiga dekad lalu menyebabkan 90 peratus daripada 148 kerajaan tempatan adalah majoriti-Melayu dari sudut komposisi etnik manakala hanya dua peratus majoriti Cina menunjukkan politik tipikal bersandar ketakutan dan emosi digunakan menentang DAP.

Sasaran sesuai

Hakikatnya, DAP akan terus menjadi sasaran utama UMNO dan PAS terutama apabila kedua-dua parti berasaskan Melayu itu semakin kehilangan tempat dalam masyarakat. Walaupun UMNO menambah bilangan kerusi Parlimen kepada 88 daripada 79 pada pilihan raya lalu, mereka hampir kehilangan kuasa persekutuan buat kali pertama dalam sejarah apabila Barisan Nasional hanya memenangi 47 peratus undi popular, itupun bergantung kepada kuasa melakukan pemecahan sempadan (gerrymandering) dan pembahagian kawasan secara tidak adil.

Sementara itu, PAS juga mempunyai nasib sama, apabila mereka bukan sahaja mengalami pengurangan kerusi Parlimen tetapi kehilangan Kedah yang diperintah mereka sejak 2008. Menyedari peluang yang ada, UMNO mengambil kesempatan untuk menuduh kekalahan berkenaan berpunca daripada parti Islamis itu berkompromi tentang perjuangan agama mereka dan menjadi orang kedua kepada DAP yang lebih dominan.

Malangnya, reaksi PAS lebih bersifat emotif daripada empirikal. Daripada melihat dari aspek mereka memperoleh kelebihan pilihan raya di Pulau Pinang dan Selangor dengan kerajaan  Pakatan Rakyat di kedua-dua negeri mampu berbangga dengan prestasi baik dan pentadbiran bersih, PAS memilih untuk tunduk kepada tekanan Umno.

Disebabkan itu, wujud usaha membentang rang undang-undang persendirian untuk meminda undang-undang persekutuan bagi membenarkan pelaksanaan kod jenayah berasaskan syariah milik kerajaan Kelantan bawah penguasaan Pas yang penuh kontroversi, juga dikenali sebagai enakmen hudud. Bukan sahaja tindakan itu melanggar kerangka kerja dasar bersama yang  dipersetujui, parti  itu tetap meneruskan agenda berkenaan walaupun bertentangan dengan janji yang disepakati oleh pemimpin mereka sendiri.

Seperti dijangka, DAP berada di barisan hadapan sewaktu debat kontroversi itu, bukan sahaja mempersoal percanggahan tindakan PAS tetapi juga menyatakan penentangannya terhadap pelaksanaan hudud di Kelantan,  prinsip yang diterangkan secara konsisten sejak enakmen itu diluluskan pada 1993.

Dengan Umno yang cuba menjolok sarang tebuan apabila menawarkan sokongan kepada cadangan hudud, walaupun ironinya parti itu merupakan penghalang utama pelaksanaan kod jenayah itu dua dekad sebelumnya, Pas dengan berani mula menghina DAP dengan julukan anti-Islam, lalu mengakibatkan gabungan Pakatan Rakyat terkubur.

Mangsa keadaan

Walaupun naratif etno-nasionalis dikembangkan oleh kedua-dua pihak dalam perpecahan politik Melayu itu, berdekad lamanya, telah ditanam dengan persepsi DAP adalah antitesis politik Melayu, imej itu diperkukuh lagi dengan faktor-faktor semasa lain, seperti akar umbi demografi, ideologi dan kekurangan alternatif.

Sejak penubuhannya 50 tahun lalu, DAP secara meluas berpangkalan di kawasan bandar. Walaupun parti itu tidak mengehad aktiviti politiknya berdasarkan sempadan geografi, kebanyakan kejayaannya di bandar dan pekan, melalui sokongan kelas pekerja di situ. Oleh itu, memandangkan kawasan pusat bandar pernah diduduki oleh komuniti bukan-Melayu seperti Cina dan India secara majoriti, tidak menghairankan apabila parti itu mendapat ramai ahli daripada demografi ini.

Kedua, idea bukan-perkauman dan sekular dibawa parti juga  satu perkara ganjil kepada latar belakang politik yang etnosentrik di Malaysia. Dengan agenda etno-nasionalis yang berakar umbi dan kian merebak, insentifnya adalah kecil untuk orang Melayu memilih parti yang tidak menawarkan ketuanan sosial atau syurga di akhirat. Justeru itu, ia tidak mengejutkan apabila parti itu cuma mempunyai sedikit daya tarikan dalam kalangan Melayu.

Ketiga, sehingga PKR ditubuh pada 1999, masyarakat terpinggir hanya mempunyai ruang yang sedikit untuk perwakilan politik. Memandangkan keahlian PAS eksklusif kepada Muslim, satu-satunya pilihan arus perdana untuk minoriti bukan-Melayu dan bukan-Islam ialah DAP, dengan alternatif lain merupakan parti sayap kiri seperti Parti Sosialis Malaysia dan Parti Rakyat Malaysia.

Oleh itu, DAP menjadi pilihan utama, terutama dalam kalangan bukan-Melayu dan bukan-Muslim, mereka yang cuba mendapatkan keadilan daripada sistem yang dipercayai menindas mereka. Dalam erti kata lain, DAP merupakan mangsa keadaan dalam sebuah dunia politik identiti yang emotif. Inilah dilema DAP.

Benarkah DAP anti-Melayu dan anti-Islam?

Seperti dinyatakan ketua parlimen dan veteran DAP, tidak logik untuk sebarang parti politik yang mahukan sokongan semua rakyat Malaysia menjadi anti mana-mana kaum atau agama, apatah lagi anti-Melayu dan anti-Islam terutama apabila kaum Melayu merupakan majoriti dalam negara ini dan Islam termaktub dalam perlembagaan sebagai agama Persekutuan.

Selain itu, adanya alat seperti Akta Hasutan dan undang-undang lain bersifat tuduhan, selalunya dilaksanakan dengan bias terhadap ahli politik pembangkang, akan memastikan sesiapa yang cenderung melakukan perkara itu dihukum berat. Malah, parti dengan karakter provokatif tidak akan dibenarkan wujud, seperti kes Parti Komunis Malaya. Semestinya, parti sebegitu tidak akan mampu menubuhkan blok kedua terbesar dalam Parlimen atau menarik keahlian Sasterawan Negara terkenal.

Walaupun ia kelihatan seperti DAP berdepan tugas sukar untuk membidas segala persepsi negatif terhadap parti tetapi harapan masih ada. Contohnya, kajian IDE tentang responden Melayu di Selangor sebelum ini mendapati sentimen anti-DAP lebih kurang di kawasan diwakili ahli DAP seperti Serdang dan Subang Jaya. Secara empirikal, ia menunjukkan walaupun persepsi itu berakar umbi, ia mampu ditangkis melalui maklumat, kebiasaan dan penglibatan.

Namun, DAP belum sempurna dan kadang kala tersumbat gol ke dalam jaring sendiri. Seperti diterangkan sebelum ini, pelbagai faktor menjadikan DAP bukan sahaja terdiri daripada ramai ahli bukan-Melayu tetapi pilihan semula jadi untuk minoriti terpinggir dengan keraguan munasabah disebabkan hegemoni etno-nasionalis dan Islamisasi yang semakin menjalar oleh rejim pemerintah. Dalam konteks ini, provokasi berterusan UMNO dan PAS akan sekali-sekala memancing reaksi keras dan kadangkala tidak tepat daripada pemimpin DAP.

Ambil contoh, debat mengenai hudud. Sewaktu beberapa pemimpin tertinggi DAP mampu mengemukakan hujah lebih bernuansa untuk menolak undang-undang itu – mencuba sedaya-upaya agar tidak terpalit dengan pendirian berunsur anti-Islam, kelembutan yang sama tidak selalunya dipamer oleh pemimpin di peringkat lebih bawah. Disebabkan itu, kenyataan selalu dibawa keluar daripada konteks sebenar dan dimanipulasi untuk menguatkan lagi imej anti-Islam DAP. Inilah sebab utama PAS dan UMNO berasa perlu untuk memainkan isu ini lagi dan lagi, sehingga kini. Lagipun, ia merupakan formula yang telah dicuba dan diuji oleh mereka.

Menetapkan naratif baru

Cabaran DAP adalah untuk mengatasi dilema dengan penyampaian mesej parti kepada orang Melayu, memupuk pertalian lebih erat dengan masyarakat Melayu, dan meningkatkan sensitiviti budaya mengenai kaum paling dominan secara demografi di Malaysia itu.

Namun, untuk berbuat demikian, penting untuk DAP mengelak terjerumus ke dalam perangkap etnosentrisme sempit. Pandangan dikotomi dalam naratif Umno lawan DAP (baca: Melayu lawan Cina) sudah terlalu berakar dan menyeluruh sehinggakan kadang kala mudah untuk ia terpamer dalam pemikiran tanpa disedari. Menentangnya adalah penting, dan usaha itu memerlukan kesabaran, ketabahan dan kebijaksanaan bagi mengelak daripada memberi respon emosional kepada umpan perkauman dan provokasi keagamaan.

Mungkin, dalam kes ini, bentuk pertahanan terbaik adalah serangan secara positif. Bermakna, ia adalah imperatif untuk DAP meneruskan komunikasi tentang rekod kejayaan kerajaannya terutama di negeri pimpinan DAP Pulau Pinang. Malah, pencapaian membasmi kemiskinan, mengurangkan ketidaksamaan pendapatan, merekod pengurangan hutang dan lebihan bajet berterusan serta menarik pelaburan bernilai tinggi dan, pada masa sama, peluang pekerjaan berpendapatan tinggi mampu menetapkan asas bagi naratif politik baru yang menjanjikan kemakmuran dan pembangunan berdasarkan prinsip tadbir urus yang baik, ketelusan, dan yang paling penting, sebuah pendekatan bukan-perkauman untuk dasar berasaskan-keperluan dan meritokrasi.

Selain itu, Pulau Pinang juga menjadi bukti bahawa sebuah kerajaan ditubuh dengan idea sekular bukan sahaja mampu menghormati Islam sebagai agama rasmi persekutuan, tetapi memperkasakannya melalui pelbagai usaha seperti peruntukan yang diinstitusikan kepada sekolah agama, insentif untuk guru sekolah agama dan pelaksanaan pilihan raya untuk ahli jawatankuasa masjid.

Lebih penting lagi, Pulau Pinang juga menunjukkan lebih sokongan kepada hal ehwal Islam tidak perlu mengorbankan budaya dan kepercayaan lain. Antara usaha dijalankan termasuk penggunaan simbol Tamil, Mandarin dan juga Arab di papan tanda jalan, pembentukan portfolio Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk agama bukan-Islam dan menginstitusi peruntukan tahunan lebih RM1 juta kepada Lembaga Wakaf Hindu yang turut menerima bangunan baru.

Selain itu juga, banyak aktiviti tradisional dan festival keagamaan kini menerima peruntukan tambahan dan pengiktirafan oleh kerajaan negeri, seperti, Thni Kong Seh, St Anne’s Feast dan Thaipusam, semuanya kini disambut pada skala jauh lebih besar berbanding dahulu. Malah, bawah pentadbiran DAP, festival Malaysia Timur seperti Gawai dan Kaamatan disambut secara rasmi dalam negeri itu.

Di Pulau Pinang, dan juga Selangor, DAP dan gabungan Pakatan Harapan mempunyai sebuah model tadbir urus yang berjaya berdasarkan nilai kebebasan, solidariti dan tadbir urus baik. Dalam model bukan-perkauman ini, kepelbagaian dirai dan hubungan antara Islam dan agama lain bukanlah ‘zero-sum’. Kemakmuran mampu dan perlu dikongsi oleh semua.

Pada masa sama, komitmen kepada pentadbiran baik dan pengurusan kewangan berhemat telah melahirkan ekonomi kukuh dan kebajikan yang lebih responsif untuk semua, tanpa mengira latar belakang kaum. Sebagai contoh, dasar tender terbuka kerajaan negeri dilihat memberi 70 peratus kontrak dan projek perolehan kerajaan kepada kontraktor Melayu secara merit, justeru menyangkal mitos Melayu tidak mampu bersaing dengan perniagaan Cina. Sementara itu, lebih 90 peratus penerima bantuan program membasmi kemiskinan oleh kerajaan negeri adalah Melayu, bukan berpandukan penyasaran etnik tetapi ujian berasaskan-keperluan.

Dalam erti kata lain, ini membuktikan wujud naratif alternatif berdaya maju yang bukan sahaja melanggar model nasionalis etnoagama UMNO dan PAS yang dominan, malah lebih penting lagi menawarkan harapan untuk masa depan lebih baik kepada seluruh rakyat Malaysia.

Akhirnya, dilema DAP turut merupakan dilema rakyat Malaysia, dan lebih cepat kita mengatasinya, lebih baik.

 

* Zairil Khir Johari ialah Ahli Parlimen Bukit Bendera