Berita

Keazaman politik mampu tangani isu biasiswa JPA

KUALA LUMPUR 22 JAN: Kerajaan UMNO BN digesa supaya menunjukkan keazaman politik yang tinggi dengan merombak dasar berkaitan urus tadbir negara bagi menangani isu penggantungan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Keadaan tidak mampu dibaiki jika tiada keazaman politik yang serius untuk merombak dan melakukan perubahan di peringkat dasar dalam urus tadbir kerajaan.

“Kita sedih apabila rakyat dihambat pelbagai tekanan sedangkan wang negara dibazir untuk projek tidak tentu hala,” kata bekas Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Sheikh Omar Ali kepada Roketkini.

Menyifatkan mahasiswa sebagai aset negara yang perlu dipelihara, beliau berkata, kepimpinan negara harus  bebas dari unsur rasuah dan penyalahgunaan dana awam demi kelangsungan positif pelapis pemimpin akan datang.

“Anak muda mahasiswa merupakan aset negara, jangan kerana kegagalan kepimpinan korup dan tidak amanah mengurus wang negara mengakibatkan generasi pelapis kepimpinan masa hadapan negara tergadai,” kata Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor itu.

Sebelum ini, negara dikejutkan dengan pendedahan mengenai isu ‘mahasiswa lapar’ yang mengundang pelbagai reaksi masyarakat mahupun pemimpin.

Walaupun isu itu terbukti melalui pelbagai pendedahan dan menjadi viral di media sosial, sesetengah pemimpin UMNO BN dengan angkuh menafikannya.

Lebih buruk lagi, dalam keadaan ekonomi semakin terhimpit dengan kejatuhan ringgit dan ketidaktentuan pasaran minyak, mahasiswa sebaliknya disaran untuk mencari pekerjaan sampingan bagi menampung kos sara hidup yang tinggi.