Berita

Kerajaan laksana cadangan DAP selepas sembilan tahun

BUKIT MERTAJAM, 20 JAN: Kerajaan Persekutuan akhirnya akur dengan desakan pembangkang dan kumpulan sivik  untuk memasukkan daftar nama pesalah jenayah seksual yang tertangguh sembilan tahun sejak ia dicadangkan.

Cadangan yang dibuat melalui pindaan Rang Undang-undang Kanak-Kanak (Pindaan) 2015 bertujuan mengesan pesalah laku seks dan pendera kanak-kanak membolehkan  maklumat penjenayah diperolehi melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menekankan tiga perkara serius sebelum ia dilaksanakan., Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong, berkata draf cadangan itu perlu melibatkan banyak pihak termasuk pembangkang dan kumpulan sivik.

“Ia harus dilibatkan langsung bersama badan-badan masyarakat sivil termasuk Majlis Peguam dan kumpulan wanita dan badan perundangan lain,” kata Pengarah Pendidikan Politik Pulau Pinang itu.

Beliau yang menyenarai 10 perkara kritikal untuk segera diselesaikan kerajaan termasuk jenayah seksual pada 2013 di Parlimen, juga mahu daftar itu bukan sahaja untuk gangguan seksual terhadap kanak-kanak tetapi juga kes orang dewasa.

“Bagi kaedah pendaftaran nama, perlu ada tempoh masa tertentu bagi nama bekas pesalah seksual yang didaftar untuk mengelakkan salah guna kuasa kerana ia akan melibatkan sekatan tertentu kepada pesalah,” katanya.

Daftar nama pesalah jenayah seksual itu dicadang pada 2007 berikutan tragedi bunuh dan rogol terhadap seorang kanak-kanak berusia lapan tahun, Nurin Jazlin Jazimin yang menggemparkan negara.