Berita

Henti biasiswa JPA bererti jual masa depan mahasiswa

 

STAMPIN, 21 JAN: Ahli Parlimen Stampin, Julian Tan Kok Ping meminta kerajaan menyemak semula kaedah pemilihan pelajar dan hanya mahasiswa yang benar-benar layak diberi biasiswa berdasarkan meritokrasi dan bukan dengan memotong peruntukan itu.

Katanya, pemberian biasiswa kepada yang kurang layak menyebabkan ramai pelajar miskin khususnya di luar bandar terus terpinggir, tambahan pula Sarawak hanya menikmati 7.4 peratus peruntukan itu sepanjang 10 tahun lalu.

“Banyak pelajar pedalaman berasal dari keluarga kurang berkemampuan. Hanya dengan  melanjutkan pengajian dapat keluarkan mereka dari status kemiskinan dan meningkatkan kualiti kehidupan. Menghentikan biasiswa pendidikan bererti menjual masa depan mereka,” katanya kepada Roketkini.

Beliau berkata, akibat urustadbir yang lemah, skandal mega yang melanda Perdana Menteri Najib Razak dan pemborosan dana awam, ia telah menyebabkan kemelesetan ekonomi negara dan kesannya terpaksa ditanggung generasi akan datang.

“Keputusan kerajaan itu akan wujudkan kesan besar. Pelajar yang dibangku sekolah akan hilang motivasi untuk lanjutkan pelajaran kerana kurangnya insentif untuk bekerja, kini ibu bapa pula terpaksa tanggung beban besar untuk biayai pendidikan dalam keadaan peningkatan kos kehidupan yang tinggi.

“Pelajar di luar negara pula akan kurang berminat untuk pulang bekerja di negara sendiri dan memberi sumbangan kepada ekonomi negara. Gejala ‘brain drain’ dalam negara ini akan bertambah buruk,” katanya.

Peruntukan tajaan biasiswa JPA bagi 2016 ialah RM1,653,054,100 (RM1.65 billion), susut  14 peratus berbanding tahun lalu melibatkan sebanyak lebih RM270 juta. –Roketkini.com