Berita

Tarik balik larangan semua pemimpin pembangkang ke Sarawak

KUALA LUMPUR 24 JAN: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem digesa berlaku adil terhadap parti pembangkang dengan menarik balik larangan masuk ke Sarawak terhadap mereka menjelang pilihan raya Sarawak Mac depan.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata Adenan perlu menunjukkan sisi reformisnya dengan melawan pembangkang secara saksama dan tidak bersekongkol membenarkan larangan bersifat tidak demokratik itu terhadap mana-mana aktivis dan ahli politik termasuk dirinya.

“Sehingga ke hari ini, saya masih tidak tahu mengapa saya dilarang masuk ke Sarawak kerana tidak pernah diterangkan puncanya.

“Sudah semestinya saya bukan ancaman kepada keselamatan dan ekonomi negeri itu,” katanya.

Naib Pengerusi DAP itu berkata demikian ketika mengulas sokongan Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, Tan Sri Dr James Masing terhadap cadangan SUPP melarang Presiden PAS,  Datuk Seri Abdul Hadi Awang masuk ke Sarawak ekoran kenyataannya menghina mubaligh Kristian baru-baru ini.

Melarang Hadi masuk ke Sarawak, katanya, suatu langkah tidak tepat dan hanya melambangkan penyalahgunaan kuasa imigresen Sarawak walaupun tindakannya menghina orang Kristian tidak berasas dan provokatif.

“Ada cara lebih baik untuk ‘mengajar’ Hadi selain melarangnya masuk ke Sarawak. Kerajaan Sarawak patut menjemputnya untuk misi mencari fakta di negeri itu dan benarkan dia bertemu dengan pelbagai kumpulan relevan dan masyarakat.

“Biar dia lihat dengan matanya sendiri sumbangan komuniti agama lain kepada pembangunan negara di Sarawak dan Malaysia, termasuk keharmonian antara agama di negeri itu,” katanya pada kenyataan media, hari ini.