Berita

SPR patut benarkan rakyat Sarawak jadi pengundi pos

KUALA LUMPUR 25 JAN: Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) perlu membenarkan rakyat Sarawak yang tinggal dan bekerja di luar Bumi Kenyalang untuk mengundi sebagai pengundi pos pada pilihan raya negeri akan datang.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming berkata pengerusi baharu SPR perlu berbuat demikian kerana kos perjalanan untuk pulang mengundi meningkat.

Kos pengangkutan sama ada kos penerbangan, bas atau bot, semuanya sudah naik mendadak akibat pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) selain kos penginapan di motel dan hotel.

“Begitu kos makanan. Ia sangat mahal terutama bagi mereka dari Kuala Lumpur, Johor Bahru, Singapura dan Kota Kinabalu yang mahu pulang mengundi ke kawasan seperti Kapit, Hulu Rejang dan Bakelalan,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Pengarah Strategi Pilihan Raya DAP itu berkata demikian ketika mengulas pelantikan Pengarah SPR baharu, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah menggantikan Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang berkuat kuasa hari ini.

SPR mengatakan ia akan meminta peruntukan RM181 juta untuk pilihan raya Sarawak akan datang, dua setengah kali ganda daripada jumlah RM78 juta yang dibelanjakannya pada 2011 kerana peningkatan kos sewa kenderaan, makanan dan lain-lain.

Pengundi, kata Kian Ming, terutama yang bekerja di Sabah, Semenanjung Malaysia dan Singapura harus dibenarkan menjadi pengundi pos kerana kos semakin meningkat dan mereka tidak patut dipaksa pulang ke Sarawak seperti pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Pada PRU13, rakyat Sarawak (juga seluruh Malaysia) tinggal di luar Malaysia dan Singapura dibenarkan mendaftar sebagai pengundi pos.

“Pilihan sama perlu disedia untuk pengundi Sarawak supaya mereka dapat membuang undi di pejabat SPR berdekatan di seluruh negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan juga kedutaan Malaysia di Singapura beberapa hari sebelum hari mengundi tiba.

“Dan seperti semasa PRU13, undian mereka dikira sebagai undi pos dan dibawa pulang ke kawasan masing-masing untuk dikira pada hari mengundi,” katanya.

Kian Ming berkata, cadangan itu perlu dipandang berat supaya dapat mengurangkan beban kewangan dihadapi pengundi yang terpaksa membuat perjalanan mahal bagi pulang mengundi.

“Cadangan itu bukanlah baharu. Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang ditubuh pada 2011 pernah menyenarainya sebagai salah satu cadangan dalam laporan akhir pada 2012,” katanya.