Rencana

Catatan: Dari aktivisme non-partisan ke politik kepartian

SEPANJANG penglibatan aku dalam DAP, banyak pengalaman yang telah aku lalui. Ada yang gembira, ada yang sedih, ada yang terkecil hati, ada yang sangat dapat dibanggakan.

Meskipun hanya beberapa tahun berada dalam DAP, aku sebenarnya melihat DAP jauh sebelum itu. Gerak kerja menawan hati pengundi hinggalah kontroversi yang mengundang kebencian umum terhadap DAP, telah aku nilai. Baik buruk cantik hodoh DAP, cita-cita dan harapan, semuanya ada dalam poket.

Sewaktu mula mengisi borang menyertai DAP, aku risau. Apa kata orang sekeliling? Apa kata keluargaku? Kawan-kawan dalam arena muzik, aktivisme, sekolah dan tempat kerja. Semuanya jadi pertaruhan. Mungkin dikeji, dihina, dipuji dan dipuja. Semuanya menjadi tendang terajang dalam mindaku. Aku sendiri masih belum cukup arif dalam dunia politik kepartian.

Sungguhpun aku telah melalui beberapa fasa sebagai seorang aktivis bebas, berhujah sana-sini bersama idea-idea politikal haluan kiri, menyertai NGO menolak kerajaan zalim UMNO-Barisan Nasional, tapi aku masih kabur dengan apa yang diperkatakan politik kepartian.

Bagaimana aku hendak menyesuaikan diri di luar bulatan bebas aku bersama-sama orang lain yang sukar aku fahami? Harus aku bijak menyusun strategi mencari ruang untung bersama atas satu tujuan yang sama, lawan UMNO-Barisan Nasional.

Aku mula berkempen bersama-sama rakan dan orang yang tidak aku kenali. Sebahagian besar mereka adalah masyarakat Cina yang berbilang kelas, dari kelas atas hingga ke kelas bawahan – yang kaya yang miskin, yang tua yang muda, lelaki dan wanita. Aku berjaya menembusi tembok penghadang pemisah antara aku dan masyarakat Cina. Idea kempen dikorek rakus untuk mempromosikan calon yang aku bantu.

Pada mulanya, aku mentafsir bahawa ahli DAP Cina memandang rendah keupayaan beberapa kawan Melayu yang berkempen, tapi aku silap. Kami dirai sepertimana mereka merai orang lain. Sama sahaja. Banyak idea aku diterima pakai dan menjadi modal untuk dibanggakan.

Ternyata, tiada diskriminasi antara kami. Cuma ada sebilangan tempat yang majoriti Melayu masih belum dapat menerima kami sebagai Melayu yang berkempen untuk DAP. Cacian yang diterima, dipanggil pengkhianat, malah dibaling dengan objek. Tapi hasil sifat ‘cool’ kami, kami harungi semua halangan.

Selepas pilihan raya, aku mula bergiat aktif di kawasan yang kami menangi. Calon yang menang tak henti-henti turun padang ucap terima kasih pada pengundi. Kebetulan, bulan puasa tiba tak lama lepas itu.

Waktu itu memang nampak kesan ke atas calon bukan Cina yang menang pilihan raya. Ada Melayu yang terima, ada Melayu yang tolak. Ada masjid yang mengalu-alukan kehadiran kami, ada yang halau macam kami ini nak pecah tabung masjid.

Semuanya kerana tanggapan sebahagian masyarakat Melayu yang belum dapat menerima DAP sebagai sebuah parti politik berbilang kaum. Ramai yang masih berfikiran bahawa DAP hanya mahu mempergunakan Melayu untuk meraih sokongan Melayu. Bagi aku yang berjaya berdepan dengan masyarakat Cina, agak pelik dengan tingkah laku sesetengah orang Melayu. Bagaikan minyak yang tak akan bercantum dengan air, kami ditolak bulat-bulat.

Namun,masih ada yang menerima kami dengan tangan yang terbuka, menyambut kami penuh mesra. Sehingga kini, kawasan Parlimen kami bergiat cergas menyantuni masyarakat Cina, India, Melayu malah Eurasian sekalipun kami tak pernah abaikan. Semuanya kami rai bagaikan sebuah keluarga besar.

Hari ini, kami berdiri teguh mendapat penghormatan tinggi atas usaha yang kami jalankan selama ini. Bantuan, perayaan, sukan, lawatan semuanya kami lakukan bersama. Aku tak pernah menghayati budaya aktivisme sejauh ini. Sangat dekat dengan masyarakat.

Sepertimana aku pernah menjadi aktivis 15 tahun dulu tapi kini aku lakukan dengan penuh gaya dan terhibur. Bukan kekayaan yang aku cari tapi pengalaman manis membantu mereka yang memerlukan, bergaul dengan golongan yang tak pernah aku kenali dan aku percaya, hasilnya sungguh luar biasa.

Walau apa pun yang aku lalui, dunia politik kepartian bukanlah jalan yang akan aku tempuh untuk selama-lamanya – ia hanya beberapa pengalaman hidup yang aku pilih untuk aku harungi. Tiada masa depan untuk aku dalam dunia politik kepartian. Tapi terima kasih banyak DAP kerana memberi peluang untuk aku faham apa erti politik di negara ini.

Oh ya, setakat ini tiada siapa yang memujuk aku untuk menyertai agama Kristian sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh orang tertentu. Iman dan akidahku sebagai seorang Islam kekal seperti biasa. – Roketkini.com

 

*Rozroi adalah nama pena seorang penggerak seni muzik indie.