Berita

DAPSY sertai demonstrasi bantah TPPA, teruskan kempen sedarkan rakyat

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Pemuda Sosialis DAP Kebangsaan (DAPSY) bersama beberapa kumpulan lain membuat bantahan terbuka terhadap Perjanjian Perdagangan Trans Pasifik (TPPA) di pintu masuk Parlimen hari ini berikutan perbahasan perjanjian itu bermula hari ini hingga esok.

Ia melibatkan beberapa pertubuhan diwakili DAPSY, Pemuda Amanah, AMK, kumpulan mahasiswa, Otai Reformasi dan Angkatan Belia Islam Malaysia.

Pengarah Biro Hal Ehwal Antarabangsa DAPSY Kebangsaan, Howard Lee, berkata DAPSY dengan tegas mendesak kerajaan menolak perjanjian TPPA kerana ia mengancam kedaulatan dan demokrasi negara ini.

“Isi kandungan perjanjian ini akan gadai kedaulatan Malaysia kerana dalam salah satu klausa perjanjian ini, syarikat besar punya kemungkinan besar melangkaui kuasa legislatif negara ini kerana undang-undang yang digubal semua pihak legislatif tertakluk di bawah pihak syarikat.

“Syarikat ada kuasa saman negara dan ini memang mengancam, mencampuri demokrasi dan kedaulatan Malaysia,” katanya kepada Roketkini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Pinji itu berkata, bantahan terhadap TPPA bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi di seluruh negara yang terlibat termasuk salahs eorang calon Presiden Amerika Syarikat.

Penolong Setiausaha Organisasi DAPSY Kebangsaan, Edmund Teoh Kheng Yaik, pula berkata kempen bantahan terhadap perlaksanaan TPPA perlu diteruskan kerana jelas ia mampu memberi kesan besar kepada rakyat.

“Ini bukan sahaja melibatkan isu perdagangan semata-mata. Ia melibatkan aspek perundangan dan ia memberi kesan besar kepada sistem demokrasi negara. Ia seolah-olah menjual Malaysia kepada konglomerat Amerika Syarikat,” katanya.

Mengakui ramai rakyat Malaysia tidak memahami kandungan perjanjian TPPA, Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil berkata, konsep perdagangan bebas TPPA hanya menguntungkan golongan imperialis yang akan merugikan rakyat dan negara.

“Perdagangan bebas ini akan untungkan pihak impetialis. Ramai yang masih tidak tahu dan keliru mengenai keburukan TPPA. Kita kena kena teruskan bantahan dan kempen,” katanya.

Naib Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir, berkata selagi perjanjian itu tidak diperbetulkan secara rasmi, ruang kepada rakyat untuk lakukan bantahan terbuka luas.

“Situasinya ialah orang masih tak nampak sebagaimana GST menaikkan harga barangan. Jadi rakyat perlu bangkit dulu. Kita tak mahu seperti kes GST, kemungkinan perkara yang lebih buruk berlaku akibat perjanjian ini.,” katanya.

Selain bantahan jalanan, Ketua Biro Tugas-tugas Khas Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zaituddin Hashim berkata, antara usaha yang telah dilakukan pihaknya ialah memfailkan saman kepada pihak kerajaan.

“Walaupun saman kita dah ditolak baru-baru ini, kita perlu teruskan kempen bantahan, kita perlu faham, dari segi ekonomi peniaga besar akan untung, tapi peniaga lain ditekan,” ujar beliau.

Perhimpunan pagi ini bermula sekitar jam 9.30 pagi dengan perarakan dari tugu negara menuju pintu masuk Parlimen dan berakhir kira-kira jam 11 pagi.

Semalam, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menegaskan DAP membantah TPPA yang dilihat akan membebankan kos sara hidup rakyat, golongan pekerja dan peniaga kecil dan sederhana. -Roketkini.com