Berita

Benarkah Hadi jadi kuda tunggangan DAP sepanjang era Pakatan Rakyat?

PAGOH (JOHOR), 26 JAN: Jika Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan PAS tidak pernah menjadi ejen, alat atau boneka DAP sepanjang era Pakatan Rakyat dari 2008 hingga 2015, tentunya Parti Amanah Negara (Amanah) juga bukan begitu.

Sehubungan itu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, mempertikaikan tindakan sesetengah propagandis PAS yang meniru taktik kotor UMNO untuk memburukkan Amanah dan presidennya Mohamad Sabu, sepertimana penyebar fitnah UMNO telah memburukkan Hadi dan PAS selama mereka bersama dengan Pakatan Rakyat.

“Saya memang mempunyai perbezaan politik dengan Hadi tetapi Presiden PAS itu tidak pernah menjadi ejen, alat atau boneka DAP – sepertimana Mohamad Sabu tidak pernah menjadi ejen, alat atau boneka DAP,” katanya di majlis pelancaran cawangan Amanah di Bukit Pasir di sini malam tadi.

Beliau kesal dengan taktik keji yang ditiru daripada propagandis UMNO itu kerana perbuatan hina tersebut turut dilakukan oleh sesetengah pemimpin MCA dan Gerakan yang menuduh DAP menjadi alat atau boneka PAS dalam pilihanraya-pilihanraya sebelum ini.

“Taktik sebegitu amat kotor dan tidak berprinsip yang sepatutnya tidak menjadi amalan jika kita mahu demokrasi di Malaysia berkembang menjadi sistem politik yang sihat dan progresif,” ujarnya.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata perbuatan memburukkan DAP dengan memfitnah bahawa ia adalah anti-Melayu dan anti-Islam adalah taktik untuk menakutkan pengundi Melayu.

Menurutnya, pimpinan UMNO mahu orang Melayu percaya bahawa Melayu akan hilang kuasa jika UMNO dan Datuk Seri Najib Razak tewas dalam pilihanraya umum akan datang.

“Saya yakin taktik menakutkan pengundi Melayu dan menyebarkan rasa benci antara kaum ini akan merebak lagi dalam minggu dan bulan mendatang ini.

“Sebabnya adalah mudah dan jelas – Najib dan propagandis UMNO memang percaya dan takut UMNO-Barisan Nasional akan kalah dalam PRU akan datang. Tentunya mereka rasa cara terbaik untuk mengatasinya ialah dengan taktik lama mencipta musuh yang tidak wujud bagi menakutkan pengundi Melayu,” tambah beliau.

Kit Siang menjelaskan mustahil orang Melayu akan hilang kuasa di Malaysia atau orang Cina akan memerintah negara kerana fakta demografik menunjukkan peningkatan jumlah penduduk Melayu, sedangkan kaum Cina semakin berkurangan.

Pada 1970, peratusan orang Melayu di Malaysia adalah 44.3 peratus diikuti Cina 34.3 peratus, India (8.99 peratus), Bumiputera Bukan Islam (11.9 peratus) dan kaum lain (0.67 peratus .

Pada 2010, peratusan Melayu meningkat menjadi 55.07 peratus, Cina berkurangan menjadi 24.3 peratus, India juga turun menjadi 7.35 peratus, Bumiputera Bukan Islam kekal pada 11.94 peratus dan kaum lain 1.3 peratus.

“Lagi pula DAP bukan parti kaum Cina atau parti untuk rakyat Bukan Melayu, sebaliknya ia adalah parti untuk semua rakyat Malaysia dan mempunyai wakil rakyat daripada semua kaum, termasuk Melayu, sejak 50 tahun lalu.

“DAP juga satu-satunya parti seMalaysia yang mempunyai cawangan di setiap negeri sebelum parti-parti lain berbuat demikian. Malah kami mempunyai wakil rakyat kaum Kadazan di Sabah dan berharap akan mempunyai Ahli Dewan Undangan Negeri dari kalangan Dayak di pilihanraya negeri Sarawak yang dijangka diadakan pada Mac atau April ini,” tambah Kit Siang.

Dengan itu, beliau berkata, mustahil pengundi Cina yang hanya menjadi majoriti di 27 kawasan Parlimen (yang mewakili 13% kerusi sahaja) mampu menguasai kesemua 165 kerusi Parlimen di Semenanjung, dan seterusnya menyebabkan orang Melayu hilang kuasa.

Menurutnya, Najib dan propagandis UMNO sengaja menakutkan orang Melayu agar tidak mengundi DAP atau Pakatan Harapan semata-mata mahu menutup mata orang Melayu daripada melihat korupsi dan ketidakadilan ekonomi yang dirasai oleh semua kaum, dan dengan itu, berharap orang Melayu akan terus memilih Najib dan UMNO. – Roketkini.com