Berita

Kes skandal terlalu mustahak untuk diputuskan oleh satu orang

KUALA LUMPUR 26 JAN: Pimpinan DAP lantang mengkritik penutupan kertas siasatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melibatkan skandal derma RM2.6 bilion tanpa sebarang penjelasan munasabah.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, berkata Peguam Negara sepatutnya memberi cadangan kepada kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam proses siasatan mereka, bukan sebaliknya.

“Mengarut. Peguam Negara sepatutnya beri cadangan kepada SPRM. Adakah SPRM ada pandangan serupa dengan Peguam Negara? Kes ini terlalu mustahak untuk diselesaikan secara bersendirian oleh Peguam Negara,” katanya.

Kepada Roketkini, Setiausaha Wanita DAP Kebangsaan itu berkata satu laporan siasatan penuh SPRM sepatutnya dikeluarkan kepada umum untuk diteliti pelbagai pihak.

Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto menyifatkan pengumuman Peguam Negara itu sebagai ‘tangan hitam yang makin berleluasa’ dalam negara berikutan agensi kerajaan seperti SPRM diperalat untuk membaiki imej Najib yang semakin rapuh dan tidak popular.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng pula mempersoal mengapa Perdana Menteri tidak mengumumkan sendiri dakwaan pemulangan RM2.03 bilion dari RM2.6 bilion dari akaun peribadinya.

“Adakah Najib berani saman pembangkang, NGO dan beberapa pihak dalam BN sendiri yang mengkritik beliau berhubung skandal RM2.6 bilion itu. Saya percaya lebih banyak fakta akan kita ketahui jika ia dibicarakan.

“Adakah ini juga bermaksud mana-mana ahli politik boleh menerima sumbangan dari sesiapa?” katanya ketika ditemui di sidang parlimen.

Dalam satu laporan media, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dipetik menyifatkan tindakan peguam negara itu sudah dijangka dan tidak menghairankan.

Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali hari ini seperti dilaporkan media dilantik sebagai anggota lembaga pengarah Lembaga Tabung Haji.- Roketkini.com