Berita

Apandi perlu tunjuk bukti, rakyat bukan bodoh

KUALA LUMPUR 27 JAN: Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali perlu membuktikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memulangkan derma RM2.03 bilion kepada keluarga diraja Arab Saudi di samping menerangkan ke mana baki RM570 juta pergi.

Jika mahu kenyataannya kononnya Najib tidak bersalah, diterima rakyat, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata Apandi perlu menunjukkan bukti dan keterangan kukuh kerana ia melibatkan kredibiliti sistem perundangan.

“Jika Apandi tidak dapat kemuka bukti kukuh, kecekapan dan profesionalisme beliau sebagai Peguam Negara perlu dipersoal.

“Apandi seperti menganggap rakyat Malaysia bodoh jika berasa rakyat menerima penjelasan membebaskan Najib dari skandal RM2.6 bilion itu tanpa sebarang pertanyaan,” katanya.

Semalam, Apandi membuat kenyataan Najib tidak melakukan kesalahan dalam skandal derma RM2.6 bilion atas alasan sejumlah RM2.03 bilion sudah dipulangkan kepada keluarga diraja Arab Saudi pada 2013, lalu mengarahkan kertas siasatan ditutup.

Bagaimanapun, pelbagai lapisan rakyat tidak dapat menerima penjelasan itu berikutan tiada bukti kukuh selain wujud konflik kepentingan berikutan pendedahan Apandi pula dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, berkata Najib harus sedar skandal derma RM2.6 bilionnya menjadi lebih kontroversi akibat kenyataan Apandi semalam, malah kes itu mencuri perhatian seluruh dunia.

“Najib naif jika menyangka skandal itu sudah diitutup dan rakyat tidak lagi mempersoalkannya kerana penjelasan Apandi mengundang lebih banyak soalan, lebih-lebih lagi kredibiliti kenyataan berhubung derma itu kononnya dipulangkan dua bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-13.

“Selama lebih enam bulan selepas pendedahan Wall Street Journal pada 2 Julai tahun lalu, Najib dikritik, dikecam dalam dan luar negara. Mengapa beliau tidak menjelaskan wang itu sudah dipulangkan kembali kepada keluarga diraja Arab Saudi?

“Adakah Najib sebenarnya seorang ‘masochist’ (sukakan penderitaan) sehingga membiarkan sahaja imej dan karakternya didera?” katanya sambil menyifatkan membebaskan Najib dari skandal tanpa menunjukkan bukti suatu tahap tertinggi pencemaran undang-undang.

Beliau berkata, keputusan Apandi yang mengejutkan dan keterlaluan dalam membebaskan Najib dari tuduhan skandal itu bukan penamat, sebaliknya membuka lembaran baru.

“Adakah Najib berani membuat sidang Parlimen Khas dengan membenarkan perbahasan Parlimen berhubung skandal itu untuk menunjukkan kepada dunia dan rakyat, tidak ada sebab meragui tahap integritinya?” katanya.-Roketkini.com