Berita

Bayar dividen Tabung Haji guna dana awam?

KUALA LUMPUR, 27 JAN: Dana awam mungkin digunakan kerajaan Persekutuan untuk membayar dividen kepada pencarum Tabung Haji akibat kelemahan pengurusan kewangan institusi itu, kata Ahli Parlimen Raub Datuk Mohd Ariff Sabri.

Katanya, ia boleh berlaku berikutan nilai aset kurang dari tanggungan dengan mengambil contoh situasi terkini apabila nilai aset Tabung Haji kurang dari liabiliti yang ditanggungnya hingga memerlukan kerajaan dengan memindahkan sejumlah dana.

“Saya diberitahu seorang bekas Menteri Kewangan, bila Tabung Haji tidak boleh bagi dividen di luar dari kos pengurusan mereka, kerajaan senyap-senyap pindah duit dan bayar dividen kononnya mahu tunjuk pelaburan institusi itu untung tapi sebenarnya tidak.

“Mereka menggunakan dana awam dan ia sebenarnya dana pembayar cukai. Kenapa kita pembayar cukai perlu tanggung kelemahan pengurusan Tabung Haji?” katanya ketika ditemui Roketkini di Parlimen hari ini.

Beliau turut menempelak sikap UMNO yang terus menakut-nakutkan orang Melayu dengan pelbagai ‘ancaman khayalan’ bertujuan menutup kelemahan pengurusan pentadbiran yang lemah.

“Ini UMNO sibuk sekarang bercakap mengenai ancaman yang imaginary seperti ‘Cina ambil alih, DAP ambil alih itu ini, tapi hakikatnya isu Tabung Haji melibatkan kepentingan orang Melayu Islam secara langsung yang diuruskan mereka”

Merujuk surat Bank Negara seperti dilapor media sebelum ini, Ariff berkata, segala yang menimpa Tabung Haji adalah kegagalan merancang dan mengurus ketelusan dan integriti pengurusan kewangan.

“Ini yang kita bimbang. Memang pencarum tak terkesan sebab dijamin kerajaan. Apabila nilai aset kurang dari liabiliti, ini menunjukkan kualiti pengurusan kononnya ‘orang Melayu’ ke atas institusi yang menjaga kepentingan orang Melayu, lemah.

“Ini bermakna berapapun nilai aset sama ada dalam bentuk likuid atau dalam bentuk fizikal, jika dicairkan pun, tidak dapat menyelesaikan dan melangsaikan tanggungan dan liabiliti Tabung Haji,” katanya sambil mempersoal sama ada Tabung Haji mampu mengisytihar dividen tujuh peratus seperti tahun lalu.

“Tahun 2015 nilai deposit dalam Tabung Haji ada RM58 bilion, dividen dapat tujuh peratus maksudnya RM4 bilion kepada pencarum. Saya nak tanya, adakah kali ini Tabung Haji ada RM4 bilion untuk bayar dividen?” katanya.-Roketkini.com