Berita

Saranan kertas siasatan SPRM berbeza dengan keputusan Apandi?

KUALA LUMPUR 27 JAN: Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng tertanya-tanya saranan dan cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Peguam Negara dalam kes skandal derma RM2.6 bilion.

“Adakah saranan kertas siasatan SPRM berbeza dengan keputusan Peguam Negara untuk membebaskan Datuk Seri Najib Razak dari sebarang pertuduhan? Adakah SPRM mencadangkan supaya Perdana Menteri itu didakwa di mahkamah?

Apa saranan SPRM dan kenapa saranan siasatan mereka tidak didedahkan Peguam Negara dalam sidang media semalam?” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Hari ini, SPRM menyatakan berkemungkinan besar merayu keputusan Peguam Negara, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menutup kes dana RM2.6 bilion serta SRC International, malah siasatan menunjukkan ia bukan kes kompleks.

Semalam, Apandi membuat kenyataan Najib tidak melakukan kesalahan dalam skandal derma RM2.6 bilion atas alasan sejumlah RM2.03 bilion sudah dipulangkan kepada keluarga diraja Arab Saudi pada 2013, lalu mengarahkan kertas siasatan ditutup.

Bagaimanapun, pelbagai lapisan rakyat tidak dapat menerima penjelasan itu berikutan tiada bukti kukuh selain wujud konflik kepentingan berikutan pendedahan Apandi pula dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji.

Lip Eng yakin ramai hairan dengan keputusan Peguam Negara untuk melepaskan Najib dari sebarang pertuduhan, kemudian kebetulan pula dilantik menganggotai Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji.

“Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji dipenuhi ramai lagi muka-muka terkait skandal 1MDB termasuk Tan Sri Ismee Ismail dan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah,” katanya.

Beliau berkata, Pengarah Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohd Zin mungkin diberi ganjaran jika akur, sebaliknya berpegang pada prinsip dan percaya siasatan itu tidak mewajarkan Najib dibebaskan.

“Kalau Bahri turut akur dengan keadaan dan tidak merayu keputusan Peguam Negara, ganjaran apakah yang akan diberikan kepada beliau?” katanya. -Roketkini.com