Berita

Gerakan putar belit kes fitnah Tantawi terhadap Guan Eng

KUALA LUMPUR 27 JAN: Setiausaha Agung Parti Gerakan, Liang Teck Meng disifatkan keliru dan terpengaruh dengan andaian tidak berasas dalam isu penyelesaian mahkamah berkaitan fitnah terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Menyifatkan isu itu tidak harus dipanjangkan, Pegawai Khas Undang-undang kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Raja Syarafina Raja Shuib, berkata Teck Meng terpengaruh dengan laporan media terpilih dan kenyataan Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan.

“Jika Teck Meng boleh terpengaruh dengan laporan media terpilih dan kenyataan mementingkan diri Nasrudin berkenaan kes itu, bayangkan mereka yang menganggap kata-kata kedua-dua Ahli Parlimen itu sebagai kebenaran,” katanya.

Justeru, beliau mengulangi penegasan bahawa kes itu sudah selesai kerana Nasrudin mengakui kesalahannya kerana membuat tuduhan Guan Eng tidak berasas, malah menarik balik sebahagian artikel dan membayar pampasan.

“Wujudkah mana-mana pihak sanggup bersetuju membayar pampasan jika dia tidak bersalah?” katanya pada kenyatan media, hari ini.

Katanya, rakyat Malaysia tidak harus mengikut rentak dimainkan sesetengah pihak bagi mengalih perhatian mereka dari isu lebih mustahak seperti skandal derma RM2.6 bilion yang belum selesai, masalah dalaman UMNO dan penggantungan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Walaupun Teck Meng mungkin cuba mengalih perhatian masyarakat dari isu sebenar Malaysia, saya harap rakyat tidak termakan dakwaan beliau,” katanya sambil menyatakan Guan Eng berhak memilih penyelesaian isu itu dan percaya penarikan balik artikel sebagai cara terbaik.

Jadi, kata Raja Syarafina, semua pihak diminta berhenti memainkan isu berkenaan lantaran Ketua Penerangan PAS Pusat itu sudah menarik artikel dan menyatakan rasa kesal secara terbuka sekalipun tiada permohonan maaf.

Beliau menyifatkan tindakan menarik balik artikel dan membayar pampasan RM10,000 kepada Guan Eng menunjukkan Nasruddin bersalah dalam kes berkenaan

“Kes itu sudah selesai dan diputuskan secara baik oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Lim Chong Fong pada 18 Januari lalu.

Dalam proses penyelesaian mahkamah 18 Januari lalu, Nasrudin membuat penyataan: Saya kesal artikel saya mencetuskan salah faham terhadap YAB Ketua Menteri Pulau Pinang. Pihak pihak bersedia untuk tidak memanjangkan kes ini dengan menarik balik artikel saya yang bertarikh 6 Ogos 2014 yang lalu yang didapati tidak mempunyai asas ke atas Ketua Menteri. – Roketkini.com