Berita

Potong biasiswa JPA: Negara kehilangan golongan bijak pandai

KUALA LUMPUR 28 JAN: Tindakan kerajaan Persekutuan memotong peruntukan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaksa mahasiswa cemerlang mencari alternatif kewangan lain.

Ketua Whip DAP, Anthony Loke Siew Fook, berkata ia termasuk memohon biasiswa dari negara lain yang akhirnya menyebabkan Malaysia kehilangan modal insan terbaik dan memburukkan lagi masalah ‘brain drain’ atau penghijrahan bijak pandai.

Mengutuk sekeras-kerasnya keputusan itu, beliau mendesak kerajaan supaya mengkaji semula keputusan itu supaya mahasiswa yang menerima tawaran universiti luar negara dan mendapat kelulusan JPA boleh meneruskan penggajian.

“Keputusan untuk memotong peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak amat dikesali dan ia keputusan yang tidak mementingkan masa depan modal insan negara kita.

“Pentadbiran Najib sebuah kerajaan yang cakap tak serupa bikin. Di manakah pelaksanaan kata-kata ‘Rakyat Didahulukan’? Pemimpin tertinggi langsung tidak prihatin masalah rakyat dan masa depan anak muda kita.

“Keputusan itu memaksa mahasiswa cemerlang menolak tawaran dan kehilangan peluang untuk menimba ilmu di luar negara,” kata Ahli Parlimen Seremban itu pada kenyataan media, hari ini.

Selain bursari 744 mahasiswa dihad kepada program dalam negara, Anthony berkata, program Biasiswa Nasional untuk pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terbaik belajar di universiti dipotong daripada 50 kepada hanya 20 orang, bermakna 30 pelajar terpaksa dikorbankan’.

Malah, katanya, lebih 2,000 pelajar program Ijazah Pertama Dalam Negara akan ‘dikorbankan’ kerana peruntukan berkenaan dikurangkan daripada 10,050 kepada 8,000 pelajar sahaja.

“Ramai anak muda dari golongan keluarga berpendapatan rendah mahupun kelas menengah memerlukan biasiswa kerajaan untuk menampung penggajian tinggi bagi meningkatkan sosial mobiliti kelurga mereka,” katanya. -Roketkini.com